KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi Indonesia, Prilly Latuconsina, mendedahkan tabiat mandinya yang selama ini disangka ramai sangat kerap. Pendedahan itu dibuat ketika tampil bersama kekasihnya, Omara Esteghlal, dalam sebuah program televisyen baru-baru ini.
Segalanya bermula apabila hos rancangan bertanyakan kepada Omara tentang fakta menarik yang baru diketahui mengenai Prilly, yang berusia tiga tahun lebih tua daripadanya.
“Prilly itu nampak macam orang yang mandi lima kali sehari. Tapi sebenarnya dia sangat ‘sustainable’. Sekali sehari cukup,” kata Omara, pelakon utama filem Tinggal Meninggal itu.
Namun, tidak lama selepas itu, Prilly membuat pembetulan menerusi Instagram Story, menjelaskan bahawa dia mandi dua kali sehari, bukannya sekali. Malah, katanya, jika dia merasa masih segar, dia tidak mahu membazir air.
“Sebenarnya dua kali sehari (mandi), tapi Omara masih baik cakapnya sekali sehari. Kadang sebelum mandi rasa macam, ‘kok masih wangi ya’, jadi tak payah buang-buang air,” tulisnya.
Dalam masa sama, Prilly mengakui ada ketika dia pergi ke pejabat tanpa mandi, terutamanya apabila terlalu penat pulang lewat malam. Namun, dia tetap memastikan mandi sebelum tidur.
Selain rutin harian, selebriti kelahiran 1996 itu juga gemar mandian ala spa dengan lilin dan aromaterapi. Bagaimanapun, aktiviti itu hanya dilakukan jika mempunyai masa lapang.
“Kalau ada masa, saya suka mandi lama, guna wangian kegemaran, lilin… macam spa di rumah,” katanya.
Prilly turut menegaskan bahawa dia bukan jenis yang mengabaikan kebersihan, cuma menguruskan masa dan penggunaan air dengan bijak.
Fenomena ini sebenarnya bukan baharu dalam kalangan selebriti. Sebelum ini, Luna Maya mengakui hanya mandi sekali sehari, manakala selebriti media sosial Tasya Farasya pula tidak mandi jika tiada aktiviti di luar.










