KUALA LUMPUR : Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal digegarkan dengan penganjuran sulung Karnival Sukan Bermotor BOSS Sepang 2025 pada 4 Oktober ini.
Acara itu bakal dianjurkan oleh Kelab Sukan Bermotor Battle of Speed Sepang (BOSS) dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Rakan Muda serta Rakan Litar.
Acara bertaraf dunia ini membawa pendekatan segar dengan menggabungkan elemen sukan permotoran, hiburan, gaya hidup serta aktiviti mesra keluarga, menjadikannya satu karnival inklusif untuk semua lapisan masyarakat.
Menurut Pengerusi BOSS, Najiy Ayyad, objektif utama penganjuran adalah merakyatkan sukan permotoran agar dapat dinikmati bukan sahaja peminat tegar, malah orang awam yang mahu merasai pengalaman litar dalam keadaan lebih selamat.
Antara tarikan utama ialah Track Day, yang memberi peluang kepada orang ramai memandu kereta sendiri di atas trek Sepang dengan kawalan keselamatan dan sesi bimbingan daripada pakar.
Car Club Parade pula bakal menampilkan deretan kereta ikonik termasuk model klasik, modifikasi, JDM, 4×4 dan sport, manakala persembahan Drift Show dijangka menjadi antara segmen paling mengujakan.
Bagi pengunjung yang mahu merasai pengalaman berbeza, program Taxi Ride menawarkan peluang menumpang kereta perlumbaan bersama pemandu profesional.
Karnival ini juga menekankan nilai kekeluargaan melalui pelbagai aktiviti mesra kanak-kanak seperti panggung mini, istana melantun, permainan interaktif dan lumba kereta slot.
Lebih 20 vendor gaya hidup serta sekitar 10 trak makanan akan turut memeriahkan suasana, di samping penyertaan agensi kerajaan seperti KBS, JBSN dan PJS yang membuka gerai informasi untuk mendekatkan golongan belia dengan peluang dalam bidang automotif dan keusahawanan.
Dengan sasaran kehadiran lebih 1,000 pengunjung setiap hari dan penyertaan hampir 300 peserta, Karnival BOSS Sepang 2025 dijangka menjadi acara permotoran paling inklusif tahun ini yang menggabungkan debaran adrenalin, hiburan keluarga dan gaya hidup automotif dalam satu destinasi.










