JessC raih anugerah Best Asian Popd di Los Angeles - Utusan Malaysia

JessC raih anugerah Best Asian Popd di Los Angeles

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR Penyanyi yang semakin mendapat perhatian, JessC, terus mengekalkan momentum cemerlang apabila dinobatkan sebagai pemenang kategori ‘Best Asian Pop’ menerusi lagu popularnya berjudul My Style di InterContinental Music Awards 2025 (ICMA) yang berlangsung di Los Angeles baru-baru ini.

Kejayaan ini menjadi bukti nyata bahawa JessC bukan saja popular di Asia, tetapi juga di pentas muzik
antarabangsa.

Album Mandarin penyanyi tersebut iaitu My Style telah memenangi hati peminat di China dengan
pencapaian hebat di carta penstriman dan radio, manakala album Melayu ‘Dekati’ mencetuskan
fenomena ‘Demam JessC’ di Indonesia.

Tidak ketinggalan, single Inggerisnya, Six Feet Deep berjaya menembusi pasaran Barat dengan siaran di
stesen radio ternama seperti Z-100 New York, Virgin Radio Vancouver, dan KIIS FM Sydney.

ICMA sendiri terkenal sebagai salah satu anugerah muzik antarabangsa paling berprestij, dengan juri
terdiri daripada pakar industri muzik dari seluruh dunia yang pernah bekerjasama dengan artis besar
seperti Celine Dion, Selena Gomez dan Ricky Martin.

Karya JessC dipuji kerana keunikan dan keupayaannya menghubungkan muzik Timur dan Barat secara luar biasa.

JessC meluahkan rasa syukur atas kemenangan tersebut dan menganggap anugerah itu sebagai penghargaan kepada semua yang menyokong muziknya.

“Muzik ialah kuasa penyembuhan yang menghubungkan hati dan melangkaui budaya.Saya amat bersyukur atas pengiktirafan ini, dan anugerah ini adalah milik semua yang menyokong muzik kami,” katanya.

Selain itu, kemenangan ini turut membuka lebih banyak peluang besar untuk JessC, termasuk kemungkinan melangkah ke pentas Anugerah Grammy suatu hari nanti.

Mengikut jadual, JessC bakal memulakan kempen promosi global single terbarunya iaitu One Chance
bermula September ini di Amerika Syarikat, diikuti Eropah dan Amerika Selatan, dengan sasaran menjangkau 50 negara dan 100 bandar menjelang akhir tahun.

Peminat tempatan juga boleh menantikan My Style World Tour Concert yang akan berlangsung pada 20
Disember 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur selepas konsertnya yang habis dijual di Genting
Arena of Stars Mei lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN