Luqman kena buktikan bukan ‘penumpang’

Luqman kena buktikan bukan ‘penumpang’

Luqman Hakim Shamsudin dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya menentang Nepal dalam Kelayakan Piala Asia 2027 pada 18 November ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyerang Negeri Sembilan FC, Luqman Hakim Shamsudin tidak boleh sekadar menjadi ‘penumpang’ dalam skuad kebangsaan selepas namanya dipanggil bagi menggantikan Jordan Mintah yang berdepan masalah kesihatan.

Biarpun menjadi pilihan saat akhir oleh Peter Cklamovski, Luqman tidak boleh ada sikap terlalu merendah diri sebaliknya kena mencuba untuk mencabar posisi selaku penyerang utama bersama pemain regular dalam skuad kebangsaan.

Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Husin berkata, keputusan Cklamovski memanggil Luqman dilihat sebagai langkah permulaan buat bekas pemain KV Kortrijk itu kembali ke prestasi sebenar selepas bergelut sejak kebelakangan ini.

“Saya tidak pasti apa perancangan Cklamovski, tetapi jika Luqman mampu tunjukkan prestasi baik ketika latihan, mungkin akan membuka mata untuk dia diberikan ruang, tidak kisahlah berapa minit.

“Ini penting untuk nyatakan kehadiran dia bukan sekadar pelengkap pasukan tetapi pengganti yang boleh diharapkan. Secara peribadi, prestasi dia di Negeri Sembilan belum cukup tetapi mungkin ini rezekinya.

“Jadi dia kena gunakan peluang ini sebaik mungkin, bukan sekadar pelengkap senarai. Buktikan (pengalamannya) sebelum ini adalah berbaloi. Ini permulaan buat Luqman ke peringkat lagi tinggi dan saya ucapkan selamat maju jaya buatnya,” katanya.

Luqman dipanggil bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mintah yang mengalami masalah kesihatan ketika Harimau Malaya kini dalam persiapan untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada Selasa depan.

Ketiadaan Mintah sudah pasti memberi sedikit perubahan kepada perancangan serangan Cklamovski, namun pemilihan Luqman dilihat selari dengan identiti permainan agresif dan tekanan tinggi yang mahu diterapkan jurulatih itu.

Bagi Luqman, pemanggilan ini hadir selepas tempoh yang agak panjang sejak kali terakhir beliau menyarung jersi negara pada aksi persahabatan menentang Singapura pada 2022.

Penyerang berusia 22 tahun itu ketika ini memiliki sembilan kaps bersama skuad senior, dengan satu bantuan gol pernah direkodkan ketika menewaskan Laos pada 2021.

Sementara itu, Sulaiman tidak mahu pemain tempatan yang mewakili kuad kebangsaan mengambil sikap terlalu cepat berpuas hati dengan prestasi masing-masing apabila nama tersenarai dalam skuad Cklamovski.

“Untuk pemain lain yang sudah beraksi baik di liga domestik, mereka kena bekerja keras lagi kerana kompetitif di peringkat antarabangsa berbeza berbanding saingan liga tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN