KUALA LUMPUR: Pelakon, Rebecca Nur Al-Islam, 39, mendedahkan tempoh edahnya telah tamat setelah bercerai dengan bekas suami, Datuk Nor Azam Sulaiman.
Perkara itu dikongsi pelakon berkenaan menerusi Instagram Story (IGs) sebelum berangkat ke Tanah Suci menunaikan umrah.
Rebecca, yang juga ibu kepada tujuh cahaya mata, berkata dia menerima lebih 1,000 mesej menerusi WhatsApp dan media sosial namun tidak berkesempatan membalas semuanya.
“Saya minta maaf kepada lebih 1,000 WhatsApp dan ramai yang DM saya, tapi saya tak dapat jawab. Terima kasih kerana mengambil berat tentang saya. Insya-Allah saya okay, teruskan doa untuk saya.
“Saya tak dapat jawab soalan yang terlalu banyak bertanya. Maaf, saya perlukan ruang. Apa yang boleh saya cakap, ya,saya sudah habis edah,” tulisnya sambil memuat naik video dirinya dalam pesawat dengan memakai niqab.
Rebecca turut memohon agar orang ramai mendoakan agar perjalanan umrahnya dipermudahkan.
“Assalamualaikum semua, doakan saya. Saya dalam kapal terbang nak ke rumah Nabi Muhammad SAW. Doakan saya selamat dan dipermudahkan Allah dalam semua urusan saya,” tuisnya.
Sebelum ini, status di Instagram Rebecca yang memaparkan perkataan ‘single mother of 7’ menimbulkan tanda tanya netizen mengenai perkahwinannya dengan ahli perniagaan, Datuk Norazam Sulaiman.
Spekulasi semakin kukuh apabila Rebecca memuat naik gambar suaminya sambil meluahkan rasa reda dengan perpisahan itu, selain mendoakan kesejahteraan lelaki yang dikongsi hidup selama 18 tahun.
Rebecca dan Norazam mendirikan rumah tangga pada 14 Januari 2011. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan lima cahaya mata dan turut membesarkan dua anak angkat.