K-pop bukan sekadar tentang muzik dan tarian. Di sebalik pentas penuh lampu sorot, ramai idol membuktikan bahawa bakat mereka jauh lebih luas daripada apa yang disangka. Jika dahulu mereka hanya dikenali sebagai penyanyi, penari atau pengacara rancangan hiburan, kini semakin ramai yang berani menjejakkan kaki ke medan lakonan.
Fenomena ini semakin ketara apabila sejumlah idol terkenal mula mencuri perhatian dalam filem dan drama, bukan sahaja di Korea Selatan tetapi juga di pentas antarabangsa.
Apa yang menarik, beberapa nama besar dalam industri ini bukan sekadar ‘mencuba nasib’. Ada antara mereka yang benar-benar diiktiraf melalui anugerah berprestij, ulasan positif pengkritik serta sambutan hangat penonton.
DAHYUN (TWICE)
Penyanyi rap dan penulis lagu berusia 26 tahun ini ialah idol terbaru yang membuat lonjakan besar, apabila debut menerusi lakonannya dalam filem You Are The Apple Of My Eye, sebuah olahan semula filem percintaan remaja Taiwan dengan judul yang sama.
Dia juga merupakan ahli Twice pertama yang menceburi bidang lakonan.
Menerusi filem itu, Dahyun memegang watak Seon-ah, seorang ketua kelas yang rajin dan membentuk hubungan dengan rakan sekelas yang bermasalah.
Walaupun Seon-ah merupakan watak pertamanya, Dahyun telah menerima pujian atas bakat lakonannya, malah memenangi Rising Star Award di Asia Star Awards 2024 oleh Marie Claire x Busan International Film Festival.
JISOO (BLACKPINK)
Daripada semua ahli Blackpink, Jisoo adalah yang pertama dalam bidang lakonan.
Artis berusia 30 tahun ini membintangi siri Snowdrop di Disney+ sebagai seorang pelajar tahun pertama universiti pada era 80-an yang jatuh cinta dengan ejen Korea Utara.
Kini, dia membintangi siri komedi zombi Newtopia di Amazon Prime Video.
LISA (BLACKPINK)
Penyanyi rap kelahiran Thailand ini membuat debut lakonannya dalam musim ketiga siri popular HBO, The White Lotus, yang sedang ditayangkan dan boleh ditonton di Singapura melalui Max.
Lisa membawakan watak Mook, seorang mentor kesihatan di resort The White Lotus di Thailand.
Dalam satu temubual bersama CNA Lifestyle, artis berusia 27 tahun itu mendedahkan bahawa dia sangat gementar untuk muncul pertama kali dengan lakonannya dan mengambil kelas persediaan.
Apabila ditanya cabaran yang dihadapi ketika penggambaran, penyanyi lagu Money itu ada jawapan sendiri.
“Bagi saya, cabarannya adalah jika Mook berada dalam situasi ini, bagaimana dia akan bertindak atau apa yang dia akan katakan kepada Gaitok (salah satu watak dalam The White Lotus) dan bukan sekadar berfikir apa yang Lisa biasanya akan katakan,”ujarnya.
SUZY (MISS A)
Sehingga kini, Bae Suzy, juga dikenali sebagai Suzy, masih merupakan salah seorang pelakon yang paling mendapat permintaan tinggi di Korea Selatan.
Dia mula dikenali pada tahun 2010 sebagai ahli Miss A dan menarik perhatian orang ramai kerana visualnya.
Pada 2011, dia membuat debut lakonan dalam drama ikonik Dream High. Tahun berikutnya, dia mendapat pujian kritis melalui lakonannya dalam filem Architecture 101.
Walaupun masih muda pada usia 30 tahun, Suzy telah memenangi lebih daripada 30 anugerah industri dan baru-baru ini membintangi drama percintaan Doona, yang menjadi salah satu siri paling popular di Netflix pada tahun 2023.
TOP (BIGBANG)
Selepas bertahun-tahun menyepi dari dunia hiburan, bekas ahli BigBang, Choi Seung-hyun atau lebih dikenali sebagai TOP, meraih peminat baru pada 2024 selepas membawakan watak Thanos yang huru-hara dalam musim kedua siri hit Netflix Squid Game.
Sambutan positif antarabangsa terhadap lakonannya, ditambah dengan persembahan reunion BigBang di Jepun, telah membawa semula lagu-lagu kumpulan itu ke carta muzik.
Sebelum membawa watak Thanos, TOP pernah membintangi banyak filem dan siri TV, malah memenangi anugerah Pelakon Baru Terbaik di Baeksang Arts Awards 2011.
Dia turut memberi bayangan bahawa dia akan mengeluarkan muzik baru pada tahun 2025.