Awak ini nak cari pelakon atau pengikut? - Adam Shahz - Utusan Malaysia

Awak ini nak cari pelakon atau pengikut? – Adam Shahz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Adam Shahz mendedahkan dirinya pernah terlepas peluang membintangi sebuah drama hanya kerana jumlah pengikut di media sosialnya tidak mencapai syarat ditetapkan penerbit.

Adam atau nama sebenarnya Mohd. Adam Shahz, 42, berkata, perkara itu berlaku selepas dia dihubungi seorang pengurus produksi (PM) yang bertanyakan tentang kelapangan jadualnya.

Bagaimanapun, pelakon drama popular Juvana itu terkejut apabila tawaran tersebut ditarik balik sebaik sahaja dia memaklumkan jumlah pengikut Instagram miliknya.

“Dapat panggilan dari seorang PM. Dia tanya sekarang sedang shoot apa? Dia beritahu ada penerbit nak ‘roll’. Dia nak tawarkan watak. Instagram Adam ada berapa ramai pengikut?

“Saya beritahu jumlah dalam 179,000. ‘Okey, penerbit nak cari yang 500,000 (pengikut) ke atas. Mungkin lain kali ya, Adam’.

“Awak ini nak cari pelakon ke cari pengikut?” katanya di platform Threads.

Perkongsian itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen yang rata-rata mempersoalkan kewajaran kriteria sebegitu dijadikan ukuran, sedangkan bakat dan pengalaman pelakon lebih utama.

Ada antara komen pengikut menyifatkan tindakan penerbit hanya menjejaskan mutu industri seni tanah air kerana terlalu mengejar populariti semata-mata berbanding memberi peluang kepada pelakon berpengalaman seperti Adam.

“Pengikut 500,000 pun kalau berlakon kayu pun tak guna juga bukan? Baik ambil pelakon yang memang betul-betul berbakat untuk bawa watak itu,” tulis seorang pengguna.

“Patutlah sekarang drama-drama Melayu macam ‘sampah’, tak habis-habis kutip dari novel lah ape lah. Pelakon pula muka-muka baharu, muka-muka suam-suam kuku. Ada rupa jalan, janji penonton suka pelakon itu. Cerita hauk pun tak apa,” tulis seorang lagi pengikutnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN