Walau sekadar showcase, saya mahu ia tinggalkan ‘parut’- Elly Mazlein - Utusan Malaysia

Walau sekadar showcase, saya mahu ia tinggalkan ‘parut’- Elly Mazlein

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi popular, Elly Mazlein atau mesra disapa sebagai Kak Lina, memberi bayangan untuk mengadakan sebuah konsert atau showcase khas buat para peminat.

Meskipun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai penganjuran acara tersebut, Elly menegaskan dia bukanlah seorang artis yang melakukan sesuatu secara sambil lewa.

Sebaliknya, kata Elly, setiap projek yang dilaksanakan akan dipastikan berada pada tahap terbaik sebelum dipersembahkan kepada khalayak.

“Kalau nak buat satu benda, walaupun sekadar showcase, saya nak ia meninggalkan kesan mendalam.

“Macam luka yang akan meninggalkan parut, susah nak hilang. Itulah yang saya maksudkan, saya mahu penonton balik dengan kenangan yang mereka akan ingat lama.

“Saya tak mahu mereka pulang dengan rasa hampa,” katanya.

Tambah Elly, jika hasrat itu menjadi kenyataan, dia akan memastikan persembahan yang dipersembahkan kelak benar-benar memuaskan hati penonton.

“Saya sendiri pernah menonton konsert kumpulan Exist. Balik daripada konsert itu, saya rasa sangat puas.

“Itu contoh yang saya mahu capai dalam memberi pengalaman yang akan kekal dalam ingatan peminat,” katanya.

Dalam masa sama, Elly turut berkongsi rasa teruja dengan sambutan positif terhadap drama bersiri lakonannya, Jutawan Express, yang kini ditayangkan pada 21 Julai ini di Astro First.

Drama komedi keluarga itu turut menampilkan gandingannya bersama pelakon, Rashidi Ishak.

“Ramai yang kata nak tengok sebab mereka suka gandingan saya dengan Abang Shidi. Saya sendiri pun seronok terbabit dalam naskhah itu sebab jalan ceritanya memang menghiburkan dari awal hingga akhir.

“Matlamat kami adalah untuk membuat seisi keluarga ketawa dan bergembira,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN