Kehidupan sukar, namun Leong kini jutawan sektor hartanah

Kehidupan sukar, namun Leong kini jutawan sektor hartanah

LEONG POH HOONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELIAU tidak lahir dalam limpahan kemewahan. Beliau juga bukan produk universiti ternama atau pemegang segulung ijazah yang megah. 

Sebaliknya, Leong Poh Hoong hanyalah seorang pelajar tingkatan tiga yang terpaksa berhenti sekolah, datang daripada keluar­ga miskin di Pulau Pinang, dan mula bekerja seawal usia 16 tahun demi kelangsungan hidup.

Namun hari ini, namanya ber­diri gah sebagai peneraju empayar pembangunan di Genting Permai, dengan nilai pembangunan mencecah ratusan juta ringgit. 

Dengan lebih empat dekad pen­galaman dalam industri pem­binaan dan pembangunan hartanah, Leong  merupakan peng­asas kepada beberapa syarikat utama yang berjaya membentuk landskap pembangunan di Lembah Klang dan Genting Permai.

Beliau ialah Pengarah Urusan GEO Trak Sdn Bhd sejak 1990, sebuah syarikat yang telah menyiapkan kerja-kerja kontrak me­lebihi RM270 juta melibatkan kerja tanah, infrastruktur dan pembinaan bangunan. Kepakaran beliau dalam kejuruteraan awam dan infrastruktur menjadi asas kukuh kepada kejayaan jangka panjang syarikat.

Sejak 1998, beliau menerajui Pesat Bumi Sdn Bhd, dan an­tara 1998 hingga 2003, berjaya me­lak­sanakan projek infrastruktur bernilai lebih RM140 juta di Cyberj­aya, termasuk kerja-kerja pembangunan asas berskala besar.

Bermula 2005 hingga 2019, beliau melangkah ke sektor pem­bangunan hartanah, berjaya menyiapkan pelbagai projek perumahan dan komersial di Bukit Serdang, Selangor yang me­rangkumi rumah teres, rumah berkembar, banglo, kilang dan pembangunan kediaman seperti Ritz Residence, yang menekankan kualiti hidup dan kemudahan komuniti.

Kemuncak pencapaian beliau ialah pembangunan Genting Permai Avenue (2010–2019), sebuah pembangunan bercampur berskala besar yang merangkumi lot kedai, stesen minyak, serta Geo38 Residence, servis apartmen 38 tingkat dengan 579 unit, sekali gus menyumbang kepada transformasi Genting Permai sebagai sebuah ‘mid-hill city’ yang lengkap dengan kemudahan harian dan komersial.

Bermula di tapak, bukan di pejabat

Pada usia 16 tahun, Leong mula bekerja dengan Syarikat Ho Hup, sebuah syarikat pemba­ngunan. Selama 17 tahun, beliau membina dirinya dari bawah, bermula sebagai penyelia junior, kemudian penyelia senior, sete­rusnya memegang sebagai pengurus kanan.

Pengalaman beliau bukan di bilik berhawa dingin, tetapi di tapak pembinaan, mengurus kerja-kerja kejuruteraan awam, jambatan, lebuh raya dan empangan.

“Walaupun pendidikan saya tidak bagus, saya hanya pelajar Tingkatan Tiga, saya tahu satu perkara saya perlu bekerja lebih keras daripada orang lain,” kata­nya ketika ditemui Utusan Malaysia di hotel miliknya, Geo Resort & Hotel, Genting Highlands. 

Kehidupan keluarga yang miskin menjadikan kerja keras bukan pilihan, tetapi keperluan. Melihat adik-beradiknya yang bergelar jurutera menikmati kehidupan lebih baik, timbul rasa cemburu yang membakar semangat.

“Cemburu itu yang buat saya bangun dan berjuang untuk hidup saya sendiri,” katanya mengimbau kembali perjalanan hidupnya dalam sektor pembinaan. 

Impian yang dirancang sejak usia 17 Tahun

Apa yang membezakan beliau dengan ramai orang lain ialah kejelasan matlamat sejak muda. Pada usia 17 tahun, beliau sudah tahu apa yang diinginkan dalam hidup. Beliau merancang hidup­nya dalam tiga fasa iaitu 20 tahun pertama untuk belajar selok-belok pembangunan, 20 tahun berikutnya untuk menjadi kontraktor dan ahli perniagaan dan selepas itu, barulah berharap untuk menenangkan hidup.

Namun realitinya tidak semudah perancangan. “Saya ambil masa 25 tahun untuk benar-benar memahami tujuan hidup saya,” katanya yang mendapat sokongan kuat isterinya, Chow Ling Tze sebagai tulang belakang hidupnya.

Gabungan 25 tahun pembelajaran dan 17 tahun pengalaman awal akhirnya membawa beliau memulakan perniagaan sendiri selepas hampir 40 tahun bekerja. Dan sehingga kini, pada usia 67 tahun, beliau mengakui perjuangan itu masih belum berakhir.

Dari Serdang ke Genting Permai

Beliau memulakan pembangu­nan pertamanya pada 2005 di Bukit Serdang, membangunkan lebih 500 unit rumah di bawah syarikat Pesat Bumi Sdn. Bhd. Setiap projek dilakukan dengan penuh berhati-hati.

“Apa sahaja yang saya bina, saya mesti rasa rumah itu seperti untuk diri saya sendiri,” katanya. Falsafah itulah yang membentuk pendekatan beliau iaitu memba­ngun mengikut keperluan sebenar manusia, bukan semata-mata keuntungan.

Langkah strategik beliau sete­rusnya ialah membina land bank. Tanah di Serdang yang dibeli pada harga RM7 sekaki persegi pada 2003, kini bernilai lebih RM100 sekaki persegi. Tanah industri yang dibeli pada RM14 sekaki, dijual semula pada RM250 sekaki.

Keutamaan tertinggi setiap pembangunan

Dalam dunia pembangunan yang mengejar kuantiti, Leong memilih jalan berbeza. Projek se­perti servis apartmen, Geo38 dan Geo Elite direka dengan konsep pengudaraan terbuka, ventilasi semula jadi dan kepadatan rendah.

Geo38 direka berbentuk V, terbuka untuk aliran udara. Geo Elite pula hanya mempunyai 217 unit, berbanding pembangunan berhampiran yang mencecah ribuan unit. Bagi beliau, keselesaan, ketenangan dan kualiti hidup lebih penting daripada memaksimumkan keuntungan.

Genting Permai: tempat terbaik untuk bersara

Beliau memilih Genting Permai bukan secara kebetulan. Dengan ketinggian sekitar 800 hingga 900 meter, kawasan ini dianggap ideal untuk penempatan jangka panjang, khususnya warga emas.

Hari ini, nilai pasaran hartanah di Genting Permai melonjak lebih 10 kali ganda, dan beliau mengakui kini berada di fasa awal sebagai seorang jutawan.

Kini, beliau terus aktif menerajui pembangunan melalui projek-projek baharu seperti Geo Elite, Geo Amani, serta pembangunan perumahan eksklusif dan apartmen servis di bawah usaha sama Antharas Hill Sdn Bhd, melibatkan ratusan unit kediaman bertaraf tinggi.

Selain itu, sebagai Pengarah Geo Resort Sdn Bhd, beliau membangunkan Geo Resort & Hotel di Genting Permai, sebuah hotel 252 bilik lengkap dengan fasiliti perniagaan dan rekreasi, memanfaatkan keindahan alam semula jadi sebagai nilai tambah utama. 

Dalam aspek utiliti, beliau juga merupakan Pengarah Geo Utilities Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan Loji Rawatan Air berkapasiti 2 juta gelen sehari serta Loji Rawatan Kumbahan 18,000 PE, menyokong pembangunan Genting Permai secara mampan dan bersepadu.

Keseluruhannya, perjalanan kerjaya Leong mencerminkan kepimpinan berwawasan, ketekunan luar biasa dan komitmen terhadap kualiti, menjadikan beliau antara tokoh pembangunan yang membina kejayaan bukan dalam sekelip mata, tetapi melalui usaha konsisten selama puluhan tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN