Trofi juara Raise The Star Malaysia milik Didie Shazry - Utusan Malaysia

Trofi juara Raise The Star Malaysia milik Didie Shazry

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perjuangan selama lapan minggu di pentas program Raise The Star Malaysia ternyata membawa tuah buat Didie Shazry apabila dia dinobatkan sebagai juara.

Kemenangan itu menyaksikan penyanyi asal Sabah itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 dan sebuah trofi.

Tidak kurang hebat, Zuana, turut tersenyum puas apabila diangkat sebagai naib juara program tersebut yang membawa pulang RM20,000 dan trofi.

Mengikuti jejak Zuana, tempat ketiga pula diraih oleh Rayme yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 dan trofi.

Manakala tempat keempat yang dimenangi oleh Hariz Fayahet dan kelima iaitu Keka, masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 serta trofi.

Semua pemenang top 5 akan menerima sebuah single terbaharu terbitan Rocketfuel Entertainment.

Selain lima pemenang tersebut, lima peserta lain iaitu Zury, Aliff Amie, Aril Eles, Sharee Lopes dan Pasya turut memberikan persembahan dan persaingan sengit.

Sementara itu, Gempak Star On Fire yang merupakan anugerah undian atas talian paling tinggi dimenangi Zury manakala anugerah Unbeatable Star diraih oleh Pasya dengan membawa pulang wang tunai RM5,000.

Terdahulu, minggu akhir bertemakan The Grand Encore dan setiap bintang akan menyanyikan dua buah lagu iaitu lagu tugasan dan lagu yang diciptakan oleh lima juri tetap.

Hariz membawakan lagu berjudul Lara Bertahan ciptaan Ikhwan Fattana, Keka membawakan lagu Cinta Dusta ciptaan Shila Amzah dan Rayme pula menyanyikan lagu berjudul Gergasi yang dihasilkan oleh Audi Mok.

Selain itu, Zuana pula menyanyikan lagu berjudul Hantaran Cinta ciptaan Ajai manakala Didie Shazry membawakan lagu Peganglah Hati yang dihasilkan oleh Aina Abdul.

Peserta diadili oleh komposer dengan markah penjurian sebanyak 80 peratus manakala undian peminat pula 20 peratus.

Program Raise The Star Malaysia menyaksikan lima komposer terkenal bergabung dalam mencari lima pelapis baharu untuk mempersembahankan lagu hasil  gubahan mereka di pentas akhir.

Kelima-lima komposer itu adalah Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah dan Ikhwan Fatana yang akan menggunakan pengalaman dan kreativiti mereka sepanjang penglibatan mencari bakat baharu.

Penjurian Raise The Star Malaysia terbahagi kepada dua bahagian iaitu pemarkahan komposer (juri) dan undian peminat.

Dihoskan oleh pengacara Alif Satar dan Sherry Alhadad,  Raise The Star Malaysia disiarkan secara langsung di Astro Ria (saluran 104) pada Ahad, pukul 9 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN