PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka diniagakan secara berhati-hati dan bergerak dalam julat 1,700 hingga 1,760 terhad pada minggu ini, susulan ketiadaan pemangkin kukuh untuk mendorong kenaikan, walaupun FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) kekal berdaya tahan di atas paras sokongan teknikal utama.
Pensyarah Kanan, Sekolah Perakaunan dan Kewangan Sekolah Perniagaan Taylor, Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Universiti Taylor, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, penyertaan pelabur dijangka kekal selektif dengan tumpuan kepada saham berasas kukuh.
Katanya, sentimen keseluruhan pasaran masih dipengaruhi pendekatan tunggu dan lihat berikutan isyarat global yang bercampur-campur.
“Dalam jangka masa terdekat, FBM KLCI dijangka bergerak mendatar dengan turun naik kecil sama ada ke atas atau ke bawah, tanpa hala tuju yang jelas sama ada menaik atau menurun.
“Minat belian masih kelihatan, khususnya daripada pelabur institusi dan dana asing terpilih, namun ia diimbangi oleh aktiviti pengambilan untung serta sikap berhati-hati menjelang pengumuman data ekonomi global utama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut beliau, sentimen pasaran global, aliran dana asing serta data ekonomi antarabangsa kekal sebagai pemacu utama pergerakan pasaran.
“Perkembangan di ekonomi utama seperti Amerika Syarikat (AS) dan China terus mempengaruhi selera risiko pelabur, manakala pergerakan saham berwajaran tinggi dalam sektor perbankan, utiliti dan perindustrian bermodal besar akan menentukan keupayaan indeks mengekalkan paras semasa.
“Trend kadar faedah dan dasar monetari global juga terus menjadi faktor tekanan kepada pasaran ekuiti tempatan,” katanya.
Walaupun inflasi domestik kekal terkawal dan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan pendirian dasar monetari yang stabil, pelabur lebih sensitif terhadap sebarang isyarat baharu daripada Rizab Persekutuan (Fed) AS dan bank pusat utama lain.
“Perubahan jangkaan kadar faedah global berpotensi memberi kesan pantas kepada aliran modal ke pasaran sedang pesat membangun, termasuk Malaysia.
“Selain itu, data ekonomi dari AS dan China dijangka memberi impak ketara terhadap sentimen pasaran.
“Data inflasi dan pasaran buruh AS mempengaruhi jangkaan kadar faedah global, manakala prestasi ekonomi China memberi gambaran terhadap prospek pertumbuhan serantau serta permintaan komoditi. Keputusan data yang tidak sejajar dengan jangkaan boleh mencetuskan turun naik jangka pendek di Bursa Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Paul berkata, pergerakan ringgit turut memainkan peranan penting dalam membentuk sentimen pelabur.
“Ringgit yang stabil atau mengukuh lazimnya meningkatkan keyakinan terhadap asas makroekonomi negara dan menyokong aliran masuk dana asing.
“Namun, pengukuhan yang berlebihan boleh menimbulkan kebimbangan terhadap syarikat berorientasikan eksport akibat tekanan ke atas margin keuntungan.
“Secara keseluruhan, kestabilan ringgit kebelakangan ini dilihat sebagai faktor sokongan, namun tidak mencukupi untuk mendorong kenaikan pasaran secara menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, pasaran menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,710 hingga 1,730 mata, dengan potensi untuk mencapai paras 1,800 mata dianggap sukar buat masa ini.
“Namun, indeks dijangka masih berupaya kekal di sekitar paras 1,700 mata selagi tekanan jualan tidak meningkat secara mendadak.
“Selain itu, volum dagangan yang rendah sepanjang minggu ini mencerminkan kekurangan minat belian serta ketiadaan pemangkin baharu yang mampu mendorong kenaikan pasaran dalam jangka terdekat,” katanya.
Selain itu, pasaran saham tempatan dijangka berdepan tekanan pada minggu hadapan berikutan ketiadaan sokongan belian yang kukuh.
“Aktiviti pengambilan untung jangka pendek oleh pelabur dilihat terus membebankan pergerakan pasaran dalam suasana sentimen yang berhati-hati.
“Secara keseluruhan, pasaran dijangka bergerak secara mendatar dengan kecenderungan lemah sehingga keyakinan pelabur kembali pulih,” katanya. – UTUSAN










