Teringat arwah ayah, saya tak boleh putarkan lagu kegemaran dia - DJ Sonic - Utusan Malaysia

Teringat arwah ayah, saya tak boleh putarkan lagu kegemaran dia – DJ Sonic

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kehilangan insan tersayang menjadi detik paling perit dalam hidup penyampai radio, DJ Sonic atau nama sebenarnya Awang Suffian Awang Hussein apabila ayahnya, Awang Hussin Awang Jinal, meninggal dunia pada 29 Februari tahun lalu akibat masalah dalaman perut.

Menurut DJ Sonic, ketika itu dia berada di ibu negara atas urusan kerja selepas seminggu menjaga arwah di hospital.

Katanya, walaupun kesihatan ayahnya dilihat stabil dan dibenarkan pulang, dia bagaimanapun dikejutkan dengan berita ayah kembali dimasukkan ke hospital.

“Tanpa berlengah, saya segera menempah penerbangan ke Kapit, Sarawak. Sebaik sahaja pesawat mendarat di Sibu pada pagi itu dan telefon bimbit diaktifkan, mesej demi mesej ucapan takziah mula membanjiri skrin telefon.

“Waktu tu saya tak bercakap langsung dalam kereta. Saya cuma menangis. Tapi saya bersyukur kerana saya sempat sampai untuk mandikan jenazah ayah sendiri. Saya sempat peluk dia buat kali terakhir,”ujarnya.

Kongsi DJ Sonic, dua minggu selepas pemergian ayahnya, DJ Sonic mengambil keputusan untuk tidak bersiaran di radio.

Menurutnya, dia tidak mampu memaksa diri untuk gembira ketika hati masih hancur.

“On air perlukan emosi yang stabil. Kita kena gembirakan pendengar. Tapi masa tu, saya sendiri pun tak gembira. Saya masih menangis, saya masih rindu.

“Kesedihan yang berlarutan tanpa diurus dengan baik akhirnya membawa kepada gangguan kesihatan. Memasuki bulan Jun dan Julai 2024, saya mula mengalami kemurungan dan anxiety yang serius.

“Berat badan susut dengan ketara, dan saya tidak mampu bekerja selama sebulan.Demi mencari ruang untuk sembuh, saya pulang ke Kuching untuk dirawat dan dijaga oleh adik. Di sana, proses pemulihan perlahan-lahan bermula.

“Namun hanya selepas hampir setahun saya akhirnya berjaya membuka diri untuk benar-benar melepaskan apa yang terbuku,”katanya.

Selain itu, kata DJ Sonic, pada 3 Ogos lalu, dia berpeluang mengikuti sesi terapi dan healing bersama Dr Hisyam Dzakiria, seorang figura yang terkenal dalam bidang pembangunan emosi dan mental.

Dalam sesi itu, kongsinya, dia buat pertama kali meluahkan secara terbuka mengenai kehilangan ayahnya.

“Saya terlalu sibuk dengan kerja. Saya jarang telefon, jarang bertanya khabar. Bila dah tak ada, baru saya rasa betapa besarnya kehilangan itu.

“Saya pernah cuba putar lagu kegemaran arwah masa on air, tapi saya terus menangis. Saya belum kuat. Tapi bila doktor kata, lagu tu bukan kenangan sedih, tapi satu penghormatan, saya mula ubah fikiran.

“Sekarang saya cuba reda dan bersyukur kerana pernah ada ayah sebaik itu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN