KUALA LUMPUR: Pelakon kacak, Zul Ariffin mengakui menerima pelbagai komen daripada warganet selepas memuat naik beberapa foto menampakkan bentuk tubuhnya di media sosial.
Menurut Zul, sememangnya dia sedar isu aurat sering menjadi perbincangan dalam kalangan masyarakat, namun meminta orang ramai menulis komen yang sesuai dan tidak melibatkan perkara lain.
“Sekarang ini ramai suka bercakap tentang aurat. Saya tak nafikan benda itu memang betul. Tetapi kalau nak komen, pergilah komen pada sukan-sukan yang lain juga.
“Kalau nak komen, biarlah kena pada tempatnya. Sukan lain pun bukan semua pakai sweater, sama saja.
“Macam inilah, kalau awak semua nak cakap pasal orang, cakap sahajalah. Tak payahlah nak ‘jual-jual’ benda lain, itu kan media sosial,”katanya.
Tambah Zul, dia tidak mahu isu remeh di media sosial menjejaskan fokus kerjanya.
Sebaliknya, kata Zul, dia lebih memberi perhatian kepada mereka yang benar-benar ingin mengetahui mengenai rutin kecergasannya.
“Saya terima banyak juga dan ramai juga yang mesej dan DM tanya macam mana saya buat semua ini (dapatkan bentuk badan kekar).
“Itu bagus sebab ada yang berminat nak sihat, baik lelaki baik perempuan. Saya lebih fokus kepada yang itu. Yang lain-lain itu, hanya ‘sembang kari’ sahajalah, malas nak layan,”jelasnya.
Selain itu, berkongsi pengorbanannya menurunkan berat badan untuk menjayakan watak sebagai petinju dalam satu projek lakonan, Zul mengakui terpaksa melalui fasa sukar termasuk diet ekstrem dan latihan intensif.
“Saya berlatih dua bulan setengah dan diet ketat sehingga pernah turun 20 kilogram dalam masa 60 hari.
“Saya hidup dengan pengambilan kurang 600 kalori sehari dengan badan saya seberat 100 kilogram, kadang-kadang hanya makan satu ayam atau satu burger sehari.
“Dan saya juga kena buat sukan boxing sekitar dua hingga lima jam sehari. Lepas itu dapat cuti pun saya tak bolehlah makan lebih. Tapi saya nak relakslah sebab dapat cuti bukan. Lagi pun saya memang tak pernah nak pergi bercuti,”katanya.
Jelas Zul, walaupun mendapat cuti selepas tamat penggambaran, dia memilih untuk berehat dan tidak lagi memikirkan tekanan seperti sebelum ini.
Mengulas mengenai kecaman, Zul berkata dia tidak mahu melayan komen negatif kerana bagi dirinya yang lebih penting adalah usaha menjaga kesihatan.
“Sekali lagi pasal gambar-gambar cuti itu, saya rasa okey sahaja. Orang lain pun ada tangkap gambar bercuti, okey sahaja? Saya tak ada apa-apa pun, okey saja,”katanya.
Terdahulu, Zul dihujani pelbagai respons daripada warganet baik lelaki mahu pun wanita setelah memuat naik beberapa keping gambar dirinya sedang bercuti di sebuah pulau.
Dalam perkongsian itu, pelakon berusia 39 tahun berkenaan tampil dengan tubuh sasa dan perut berotot, seakan-akan mahu membuktikan transformasi fizikalnya berhasil.