KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Ernie Zakri, mengakui dirinya gemar mengumpul barangan yang comel dan melakukan aktiviti menarik kerana menganggap hobi itu sebagai satu cara untuk menggembirakan hatinya sendiri.
Menurut Ernie, kebanyakan peminat mengenalinya semata-mata sebagai penyanyi, dan melalui cara itu, dia mahu menunjukkan sisi peribadi yang berbeza khususnya di platform media sosial seperti TikTok.
“Sebenarnya saya sukakan benda-benda yang ‘cute’. Kadang-kadang, peminat hanya kenal kita sebagai penyanyi. Jadi, saya rasa, mengapa tidak saya cuba mendekatkan diri dengan penonton, terutamanya di TikTok.
“Kalau terlalu kerap muat naik video nyanyian, orang akan fikir, ‘okey kami tahu awak penyanyi, tetapi apa lagi?’ Mereka juga ingin tahu kita sedang buat apa,” katanya.
Bagi memenuhi minat itu, Ernie kini bukan sahaja aktif membuat koleksi ‘blind box’, malah turut berkongsi vlog dan aktiviti hariannya.
Katanya, menerusi perkongsiannya itu ia membuka mata orang ramai bahawa dunia hiburan tidak semewah dan seindah seperti yang disangka.
“Kerja kami tidak seglamor yang disangka. Tidak sehebat yang orang fikir. Tetapi saya cuba berkongsi perkara yang sesuai kerana kita kini berada dalam generasi media sosial.
“Mahu atau tidak, kita kena ikut arus zaman itu.Namun, saya tidak boleh terlalu mendedahkan kehidupan peribadi.
“Saya hanya berkongsi yang wajar sahaja. Lagipun, kalau orang tidak suka, mereka tetap tidak akan suka,” katanya.
Selain itu, bagi menjaga batas, Ernie turut mendedahkan bahawa setiap kali mahu memuat naik video di media sosial, dia akan meminta izin daripada suami terlebih dahulu.
“Kita kadang-kadang rasa video itu okey tetapi mungkin ada perkara yang boleh mengaibkan atau disalah erti. Jadi, lebih baik saya minta pandangan suami,” katanya.
Menyentuh soal hobi, penyanyi lagu Ku Bersuara itu tidak malu mengakui minatnya terhadap perkara yang disukai kanak-kanak, termasuk aktiviti mewarna buku.
“Kalau hobi itu buat kita gembira, apa salahnya? Saya tak rasa saya dah tua. Saya masih muda. Saya rasa banyak cara untuk gembirakan hati dan ini salah satunya.
“Sekarang saya suka mewarna buku. Perkara-perkara kecil sebegini pun boleh buat kita bahagia. Jadi, kalau ia membahagiakan, buat sahaja,” ujarnya.