Srikandi buah tangan terbaharu Cherry On Top - Utusan Malaysia

Srikandi buah tangan terbaharu Cherry On Top

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Selepas setahun muncul dengan lagu Ketagih yang turut menampilkan Datuk Syafinaz Selamat, kumpulan Cherry On Top kini mengorak langkah dengan single kedua berjudul, Srikandi yang dirilis pada 1 Ogos lalu.

Menariknya, Srikandi dihasilkan lengkap dengan pakej muzik video rasmi yang memukau penonton yang menyaksikannya di medium YouTube.

Lagu Srikandi adalah hasil karya Kusham, sementara liriknya ditulis oleh Zaira Sham. Ia menampilkan gabungan unik tiga elemen muzik merangkumi keindahan tradisional Melayu, kehebatan progressive rock, dan dimensi elektronik moden.

Kusham berkata, pendengar yang menikmati Srikandi pasti dapat merasai pengalaman audio yang bertenaga, dramatik, dan penuh emosi.

“Ia mengangkat kisah pahlawan wanita Melayu yang berani, tabah, dan berwibawa. Konsep muzik video dan jalan cerita Srikandi dicetuskan oleh Zaira Sham, yang menterjemahkan kekuatan lirik kepada visual berilustrasi tradisional berpalet merah dan emas.

“Manakala sentuhan estetika futuristik bercahaya neon dan elemen digital, melengkapkan naratif, menyatukan dunia lama dan masa depan, sambil menampilkan Cherry On Top dalam aura pahlawan moden.

Lagu Srikandi bukan sekadar sebuah lagu semata-mata, tetapi ia adalah gabungan cerita sejarah, semangat perjuangan, dan tenaga muzik moden yang progresif,” katanya.

Kusham yang juga pengasas One Scream Studio, mahu pendengar berasa seperti melangkah ke dunia epik yang sarat dengan inspirasi, menerusi lagu ini.

Dia turut melahirkan perasaan gembira kerana album Ketagih yang memuatkan lagu Srikandi dan Ketagih sudah menerima liputan meluas di media perdana dan indie, serta membuka peluang persembahan Cherry On Top di pelbagai acara besar, termasuk siaran langsung RTM dan DFM.

Cherry On Top dianggotai oleh Kuzan, 23, sebagai pemain keyboard, programmer dan vokal, Osama, 24, pemain gitar, Ayen Tommy, 26, pemain dram, Holy, 24, penyanyi utama dan pasangan adik beradik, Didi, 23, dan Bobo, 19, bermain gitar dan bass.

Mereka melahirkan perasaan bangga dan gembira kerana menjadi artis pertama One Scream Studio.

Empat daripada mereka masih mengikuti pengajian dalam bidang muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) kecuali Didi yang mengambil jurusan automotif di sebuah kolej tempatan.

Manakala Osama baru sahaja menamatkan pengajian Diploma jurusan muzik di Aswara dan bakal menyambung pengajlan dalam Ijazah di tempat yang sama selepas ini.

Muzik video rasmi Srikandi kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Cherry On Top.

Persembahan rasmi Cherry On Top diuruskan oleh One Scream Music & Entertainment.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN