KUALA LUMPUR: Penyanyi, Shiha Zikir, mengakui terkilan apabila dikhianati oleh bekas pekerjanya sendiri yang disyaki melakukan perbuatan mencuri dan pecah amanah terhadap syarikat miliknya.
Shiha, atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir, berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran di media sosial dan meluahkan rasa sedih kerana tidak menyangka kebaikan yang diberikan selama ini dibalas dengan perbuatan mencuri.
“Tak sedar air mata jatuh. Mungkin sebab Shiha terkenangkan apa yang bekas pekerja dah buat. Bukannya nak mengungkit, tapi lebih pada tak sangka. Sangat tak sangka.
“Pekerja yang selama ini kita jaga, layan sebaik mungkin, ambil tahu soal keluarga, cukup tak makan minum, susu anak-anak, tapi dibalas macam ni.
“Kenapa sanggup mencuri dan pecah amanah syarikat?” luahnya.
Menurut Shiha, kejadian tersebut memberi tamparan hebat terhadap dirinya sebagai seorang majikan yang selama ini berusaha memastikan kebajikan pekerja diutamakan.
“Remuk hati ini. Bukan mudah nak jadi bos atau pemimpin. Semua perasaan yang kita rasa, kebanyakannya dipendam demi keselesaan pekerja. Tapi sampai bila?” katanya lagi.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Renjana itu menegaskan dia telah cuba menyelesaikan isu berkenaan secara rasional dan sebaik mungkin.
Malah, kata Shiha, dia turut menerima kejadian itu sebagai satu pengajaran untuk lebih berhati-hati di masa hadapan.
“Tak apalah, walaupun sakit, Shiha dah cuba selesaikan dengan sebaik mungkin. Sekurang-kurangnya apa yang terjadi ini buat Shiha lebih benar-benar mengenali siapa yang patut dijaga.
“Kan Allah dah janji, setiap yang terjadi pasti ada hikmah. Alhamdulillah,” tulisnya.
Shiha bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah kerugian mahupun tindakan lanjut terhadap bekas kakitangan tersebut.
Sementara itu, di ruangan komen, Shiha mendapat respons positif daripada pengikutnya yang mendoakan agar dia tidak mudah berputus asa dalam meneruskan kerjaya dan perniagaannya.