SEOUL: Penyanyi terkenal Korea Selatan, Lyn yang cukup dikenali sebagai suara emas di sebalik pelbagai lagu runut bunyi (OST) drama popular Korea, mengumumkan telah bercerai dengan suaminya, Lee Soo, selepas 11 tahun melayari bahtera perkahwinan.
Menurut laporan Dispatch, pasangan itu telah mencapai kata sepakat untuk berpisah secara baik selepas berbincang secara mendalam.
Difahamkan, perceraian ini bukan berpunca daripada sebarang salah laku oleh mana-mana pihak, sebaliknya dibuat atas dasar persefahaman bersama.
“Mereka tidak berpisah kerana masalah peribadi atau pengkhianatan. Hubungan hormat antara kedua-duanya masih kekal,” kata satu sumber.
Agensi yang mewakili Lyn dan Lee Soo iaitu 325E&C turut mengesahkan perkara tersebut. Dalam kenyataannya, agensi itu menjelaskan bahawa kedua-dua artis berkenaan tetap mengekalkan hubungan baik sebagai rakan dalam bidang muzik.
“Mereka telah sepakat untuk berpisah selepas perbincangan panjang dengan penuh rasa hormat. Buat masa ini, mereka sedang dalam proses penyelesaian perceraian,” kata wakil agensi.
Tambahnya lagi, Lyn dan Lee Soo akan terus menyokong karier masing-masing dan mengekalkan hubungan profesional sebagai rakan muzik.
Agensi itu juga meminta orang ramai supaya tidak membuat atau menyebarkan sebarang spekulasi yang tidak sahih mengenai pasangan ini.
Untuk rekod, Lyn dan Lee Soo mendirikan rumah tangga pada tahun 2014 selepas setahun mengumumkan hubungan mereka kepada umum.
Pasangan ini turut pernah merakamkan lagu kolaborasi bersama, malah sempena ulang tahun ke-10 perkahwinan tahun lalu, mereka melancarkan album duet berjudul FriendLyn.
Namun, kisah cinta mereka tidak terlepas daripada kontroversi. Keputusan Lyn untuk berkahwin dengan Lee Soo pernah mencetuskan kritikan kerana penyanyi lelaki itu dikaitkan dengan tuduhan melibatkan kes pelacuran bawah umur pada tahun 2009.
Walaupun kes itu berlarutan selepas perkahwinan, Lyn tetap mempertahankan suaminya sehingga turut menerima kecaman.
Lyn atau nama sebenarnya Lee Se Jin memulakan kerjaya sebagai penyanyi pada tahun 2000, namun album pertamanya My First Confession gagal mendapat sambutan.
Popularitinya melonjak selepas tampil dengan nama pentas Lyn pada 2002 melalui album Have You Ever Had Heart Broken?.
Kini, pada usia 43 tahun, Lyn digelar sebagai ‘Ratu OST Drama Korea’ kerana kejayaannya menyanyikan pelbagai lagu runut bunyi drama terkenal, antaranya My Destiny (My Love From The Star), Back in Time (The Moon Embracing the Sun), dan With You (Descendants of the Sun).