KUALA LUMPUR : Pelawak, Shuk Sahar tampil memberi kenyataan balas apabila isterinya, Fara Salleh mendakwa dia enggan memberi kerjasama berhubung kes pendaftaran perkahwinan dan pengesahan perceraian.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram, Shuk atau nama sebenarnya Mohamad Shukri Mohamed Sahar, 39, menyatakan dia memilih untuk berdiam diri kerana mahu perkara itu diselesaikan secara tertutup.
“Saya berdiam diri selama ini kerana mahu perkara peribadi ini diselesaikan dengan cara baik dan tertutup.
“Namun, perkara ini masih berterusan dan melampaui batas sehingga penyataan serta gelaran yang tidak sepatutnya ditujukan kepada ibu bapa serta anak-anak saya,”katanya.
Menurut Shuk, perkara peribadi itu termasuklah isu pengesahan pernikahan serta penentuan sah penceraian yang masih belum diputuskan oleh mahkamah.
Dalam pada itu, Shuk juga mengatakan dia akan mengambil tindakan undang-undang kepada Fara kerana tindakannya disifatkan keterlaluan.
“Semua pihak disarankan untuk tidak membuat sebarang penyataan, spekulasi, komen serta andaian berkenaan dengan perkara-perkara yang masih belum diputuskan oleh mahkamah.
“Ia adalah untuk menghormati institusi kehakiman di Malaysia dan juga demi menjaga daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan reputasi mana-mana pihak,”katanya.
Shuk mendirikan rumah tangga dengan Fara pada November 2023.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang cahaya mata yang diberi nama Elaine Nada pada 26 Jun lalu.
Namun, Fara mendakwa dia telah diceraikan melalui kiriman suara di telefon bimbit ketika Shuk berada di Thailand.
Shuk juga pernah berkahwin dengan Rossa Sera sebelum bercerai pada 22 Mac 2023 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Nur Qurratu Ain, dan Nur Assyifatu Aimi.