Minat lagu bernilai budaya, Zhiddin Aziz tolak tawaran tulis lirik lagu cinta - Utusan Malaysia

Minat lagu bernilai budaya, Zhiddin Aziz tolak tawaran tulis lirik lagu cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pempengaruh dan selebriti media sosial, Zhiddin Aziz, mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran daripada komposer tempatan untuk menulis lirik lagu buat artis tanah air.

Menurut Zhiddin, tindakan itu dibuat kerana dia merasakan jiwa seninya tidak selari dengan konsep yang ditawarkan.

“Ya, saya ada dapat tawaran. Tapi saya tak terima sebab saya nak ia lebih kepada karya yang mampu memberikan manfaat dan meninggalkan kesan mendalam kepada pendengar.

“Setakat ini, lagu yang ditawarkan kepada saya kebanyakannya lagu cinta, macam drama. Saya rasa saya kurang berminat dengan lagu begitu.

“Saya lebih suka lagu-lagu yang ada nilai budaya, yang mampu membuka minda kita tentang bahasa dan keindahannya,” jelasnya.

Menurut Zhiddin, dia sendiri secara peribadi menggemari lagu-lagu yang mempunyai bahasa dan bait lirik yang indah.

Malah,anak kepada Allahyaham personaliti tv terkenal, Aziz Desa, ini turut mengakui meminati lagu-lagu lama seperti karya Allahyarham R Azmi.

“Kalau naik kereta saya, mungkin orang pening kepala dengar lagu R Azmi. Lagu dia pasa saya, membuka minda, mengajar kita tentang bahasa.

“Saya suka bila sesuatu itu ada rima kerana ia membuatkan orang ingin mendengar, sama seperti bacaan Al-Quran yang sedap di telinga kerana ada rima di hujung. Kalau perhatikan, pantun Melayu sendiri turut mengambil inspirasi daripada keindahan bahasa Al-Quran,”katanya.

Menariknya, walaupun menolak tawaran menulis lirik, Zhiddin tidak menolak dunia penulisan sepenuhnya.

Kata Zhiddin, dia kini lebih memberi tumpuan kepada penulisan skrip filem selain mengakui pernah menerima tawaran daripada Studio Kembara, syarikat produksi yang terkenal dengan karya bercorak sejarah dan nilai ketamadunan sebelum ini.

“Studio Kembara pernah beri saya peluang walaupun saya masih setahun jagung. Ilmu yang saya ada baru setitis kalau nak dibandingkan dengan seluas lautan, tapi mereka beri kepercayaan. Itu yang saya hargai.

“Bagaimanapun, tawaran itu juga terpaksa ditolak dengan baik kerana saya sibuk dengan persekolahan waktu itu.

“Saya akan menerima projek yang diyakini dapat dilaksanakan dengan baik, kerana bagi saya, setiap karya yang dihasilkan perlu memberikan pulangan manfaat kepada kedua-dua pihak, pencipta dan khalayak,”katanya.

Selain itu, Zhiddin juga pernah menerima jemputan untuk memberi ceramah mengenai penulisan, namun merendah diri menolak peluang itu sambil menegaskan bahawa dirinya bukan pakar.

“Saya mungkin boleh cerita tentang keindahan bahasa, bukan penulisan rasmi. Saya cuma ingin berkongsi rasa kagum dengan keindahan bahasa itu sendiri.

“Untuk memberi ceramah atau perkongsian mengenai, saya terpaksa tolak sebab saya bukan pakar,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN