MIFFest mahu lebih banyak pertaruhan filem tempatan - Utusan Malaysia

MIFFest mahu lebih banyak pertaruhan filem tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengasas dan presiden Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest), Joanne Goh, menyuarakan harapan agar lebih banyak karya tempatan berani menghantar pencalonan dan bertanding di pentas antarabangsa.

Ini kerana, Joanne berkata, dia yakin bahawa Malaysia memiliki ramai pembikin filem berbakat dan berpotensi besar untuk bertanding dengan filem-filem luar negara.

“Potensi pembikin filem Malaysia sangat besar. Saya berharap pada edisi akan datang, kita dapat melihat lebih banyak filem tempatan dihantar untuk bertanding supaya bakat kita diiktiraf dan diketengahkan ke mata dunia,” katanya ketika ditemui pada malam kemuncak MGGA di ZEPP Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Joanne, penganjuran MIFFest ke-8 tahun ini menerima hampir 700 penyertaan dari seluruh dunia, termasuk Asia Tenggara.

“Sebenarnya penyertaan tahun ini sangat banyak. Kami menerima sekitar 700 filem dari seluruh dunia, terutamanya dari Asia Tenggara termasuk Malaysia. Proses penilaian kami bermula dengan juri saringan awal, semi-final dan akhir sekali juri utama.

“Bagi kriteria pencalonan, kami memberi fokus kepada pembikin baharu dan bakat baharu yang dapat menampilkan idea-idea yang segar dan baru. Untuk kategori bukan pertandingan tiada masalah kerana tahun ini kami meraikan ulang tahun ke-8 festival ini, serta menampilkan 65 filem antarabangsa dan tempatan.

“Untuk kategori pertandingan pula, kami menetapkan syarat bahawa filem mestilah daripada pengarah baharu. Filem arahan pengarah yang sudah terkenal seperti filem lakonan Michelle Yeoh, contohnya, tidak layak untuk kategori ini. Namun begitu, kami tetap menghargai penyertaan mereka dalam kategori khas atau tayangan istimewa,”katanya.

Selain itu, menurut Joanne, kerjasama di peringkat antarabangsa terus diperkukuhkan dengan menampilkan Festival Filem Kesatuan Eropah (EUFF) Ke-25 sebagai sebahagian daripada MIFFest 2025.

“Tahun ini, kami turut bekerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU). Ini bermakna ada 17 negara dari EU yang terbabit dalam acara anugerah ini.

“Saya juga bangga kerana tahun ini kami dapat bekerjasama dengan 10 negara Asia untuk segmen Asean On Screen, dan menayangkan 6 filem yang cukup mengagumkan.

“Segmen ini memperlihatkan bagaimana MIFFest telah berkembang menjadi nod penting dalam rangkaian sinema Asia Tenggara, menjalin perkongsian antara industri filem seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam dengan Malaysia sebagai tuan rumah strategik.

“Kami juga berbangga kerana juri kami terdiri daripada tokoh-tokoh hebat antarabangsa seperti Reza Rahadian dari Indonesia, Jennifer Yu dari Hong Kong, dan wakil Malaysia seperti Diana Danielle. Mereka datang dari jauh, seperti dari London dan Asia, semata-mata untuk bersama kami dalam festival kali ini,”katanya.

Majlis penganugerahan tersebut menyaksikan filem Palestin, All That’s Left of You, mengungguli dua kategori utama iaitu Filem Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Karya arahan Cherien Dabis ini mengisahkan pasangan Palestin yang berdepan dilema hidup di tengah konflik, menggabungkan latar politik dan kisah kekeluargaan secara mendalam dan menyentuh hati.

Turut mencuri perhatian ialah filem Red Path dari Tunisia yang memenangi Anugerah Pengarah Terbaik dan Anugerah Harapan Baharu menerusi sutradara Lotfi Achour, yang terkenal dengan pendekatan puitis dan realisme sinematik.

MGGA turut meraikan legenda Hong Kong, Ti Lung, 78, dengan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, manakala pelakon Indonesia, Reza Rahadian, menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang.

Isabelle Stachtchenko pula meraih Sinematografi Terbaik melalui Universal Language.

Dalam kategori lakonan, Mahmood Bakri Chatila dari Palestin dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi To A Land Unknown, diikuti Park Mi-Hyeon (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik) dan Han HaoLin dari China (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik).

Filem Island To Island arahan Lau Kek Huat pula menjadi pilihan penonton.

Dengan tema Kisah Tanpa Batas, Sinema Tanpa Sempadan, MIFFest bukan sekadar meraikan filem dari seluruh dunia, malah berfungsi sebagai platform strategik untuk mengangkat karya tempatan ke peringkat antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam peta sinema Asia Tenggara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN