Laporan polis bukan kerana dendam atau gila publisiti - Sophia Albarakbah - Utusan Malaysia

Laporan polis bukan kerana dendam atau gila publisiti – Sophia Albarakbah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Sophia Albarakbah, tampil menjelaskan punca dirinya mengambil keputusan membuat laporan polis berhubung isu buli siber dan gangguan seksual yang dialaminya sejak kebelakangan ini.

Menerusi satu hantaran di Instagram, pelakon drama Lelaki Itu itu berkongsi beberapa tangkap layar mesej berbaur lucah serta komen negatif yang diterima daripada warganet.

“Ini hanyalah sebahagian kecil, masih banyak lagi yang jauh lebih teruk.

“Saya bukan berkongsi untuk memalukan sesiapa, tetapi untuk menunjukkan realiti yang berlaku di alam maya. Diam tidak akan mengubah apa-apa,” katanya.

Menurut Sophia, tindakan membuat laporan polis itu bukan bermotifkan dendam atau mencari publisiti, sebaliknya bertujuan melindungi keselamatan dan maruah diri.

“Dendam? Gila publisiti? Tegakkan benang basah? Tidak! Buli siber dan gangguan seksual bukan perkara main-main.

“Ia bukan gurauan, dan bukan sekadar ‘komen sahaja’,” tegasnya.

Selain itu, pelakon ini turut mendedahkan dia menerima ribuan mesej dan komen mengandungi fitnah, hinaan, ugutan serta unsur lucah yang memberi kesan mendalam terhadap emosi dan harga dirinya.

“Ada yang menganggap ia perkara kecil, tetapi bagi saya kata-kata itu benar-benar melukakan. Kepada semua yang pernah melalui perkara sama, anda tidak keseorangan.

“Dan kepada mereka yang masih menyebarkan kebencian, ingatlah bahawa kata-kata anda boleh meninggalkan parut yang tidak akan sembuh,” ujarnya.

Kelmarin, Sophia mengambil tindakan tegas dengan membuat laporan polis berhubung kes buli siber dan gangguan seksual yang diterimanya selepas memenangi kategori Selebriti Feminin Terhangat pada satu majlis anugerah, baru-baru ini.

Menurut peguamnya, Aizat Izuan Shakeel, anak guamnya itu terkesan dengan tekanan emosi susulan kejadian tersebut sejak hampir seminggu lalu.

Akibat peristiwa itu, Sophia mengalami tekanan emosi yang serius dan bimbang ia boleh menjejaskan kesihatan mentalnya.

Peguam tersebut turut memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan polis dan menyediakan segala dokumen atau maklumat yang diperlukan bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN