KUALA LUMPUR : Pelakon dan penyanyi, Azira Shafinaz, mengakui pernah melalui detik pahit apabila dimarahi seorang pelakon senior sehingga mengalirkan air mata pada awal penglibatannya dalam industri seni.
Mengimbau pengalaman tersebut, Azira, 33, yang juga anggota kumpulan DeFam, berkata, dia tidak menyimpan dendam sebaliknya menjadikan insiden itu sebagai pembakar semangat untuk memperbaiki mutu lakonannya.
“Saya pernah dimarahi dan dipanggil bodoh, malah dikatakan tidak pandai berlakon. Tipulah kalau saya kata tidak terasa, saya memang menangis ketika itu.
“Namun, saya tidak simpan dendam kerana saya anggap tegurannya sebagai motivasi untuk jadi lebih baik,” katanya.
Azira berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem Indera yang berlangsung di GSC Mid Valley di sini, semalam.
Menurut Azira lagi, teguran keras meski kedengaran tidak manis namun ada kebenarannya.
Ini kerana, kata Azira, dia pada ketika itu masih hijau dan banyak perkara perlu dipelajari dalam bidang lakonan.
“Mungkin ada betulnya juga cara dia menegur begitu kerana saya pun baru sangat dalam industri ketika itu. Banyak yang perlu saya belajar,” jelasnya.
Bagaimanapun, Azira berkata, dia tidak membiarkan dirinya larut dalam kesedihan.
Malah, jelasnya, apabila kembali digandingkan dengan pelakon sama, dia berasa lega dan bersyukur kerana pelakon terbabit memuji peningkatan mutu lakonannya.
“Ketika bekerjasama semula, dia sendiri memuji lakonan saya yang dikatakan semakin baik.
“Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Saya jenis yang cepat bangkit dan tidak mahu terlalu lama tenggelam dalam emosi,” ujarnya.
Filem Indera yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air mulai 7 Ogos ini, turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Shaheizy Sam dan Ruminah Sidek.
Indera merupakan sebuah filem psycho-thriller yang turut dibintangi Samara Kenzo, Ruminah Sidek, Adlin Aman Ramli dan lain-lain.
Berlatar belakangkan tragedi Peristiwa Memali pada tahun 1985, filem ini berkisarkan tentang seorang balu dan anak perempuannya yang sering mengalami ‘mysterious visions’ di sebuah kampung terpencil.