SHAH ALAM: Muncul sebagai juara program realiti Raise The Star Malaysia (RTSM) semalam, penyanyi, Didie Shazry berhasrat menghadiahkan separuh daripada wang kemenangannya itu kepada kakak sulungnya, Asniza Norsita, 33.
Menurut Didie, 23, pengorbanan Asniza yang sanggup berhenti sekolah pada usia 16 tahun demi memastikan adik-beradik lain mendapat pendidikan wajar menjadi contoh dan inspirasi.
Katanya, tindakan itu dilakukan selepas ibu bapa mereka berpisah ketika Didie baru berusia sembilan tahun.
“Separuh daripada wang kemenangan saya akan diserahkan kepada kakak. Bagi saya, dialah insan yang paling layak menerimanya.
“Selebihnya saya akan gunakan untuk berkarya,” katanya ketika ditemui selepas sidang media pentas akhir RTSM di Royal Theatre Shah Alam, semalam.
Selain itu, akui Didie, dia tidak pernah memberitahu kakaknya mengenai hasrat itu kerana mahu menjadikannya sebagai kejutan istimewa.
Jelas Didie, Asniza, yang sanggup terbang dari Sabah, hadir memberikan sokongan sepanjang minggu separuh akhir dan pentas akhir pertandingan tersebut.
“Kakak hadir menonton saya di pentas akhir, malah ketika berada di peringkat separuh akhir pun dia sanggup datang dari Sabah.
“Saya mahu membalas segala pengorbanannya,” ujarnya.
Menceritakan latar belakangnya, Didie berkata, selepas tinggal bersama kakak dari usia sembilan hingga 12 tahun, dia kemudiannya dijaga keluarga angkat sehingga tamat tingkatan empat.
“Arwah bapa angkat banyak mengajar saya tentang muzik. Selepas dia meninggal dunia, saya kembali tinggal bersama kakak sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris,” katanya.
Sementara itu, pada malam kemuncak RTSM, Didie membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta trofi selepas mengetepikan sembilan peserta lain melalui persembahan bertenaga lagu Melompat Lebih Tinggi (Sheila On 7) dan single baharu ciptaan Aina Abdul berjudul Peganglah Hati.
Tempat kedua dimenangi Zuana, manakala Rayme berada di tempat ketiga.
Hariz Fayahet dan Keka masing-masing mengisi kedudukan keempat serta kelima.
Semua pemenang top 5 akan menerima sebuah single terbaharu terbitan Rocketfuel Entertainment.
Selain lima pemenang tersebut, lima peserta lain iaitu Zury, Aliff Amie, Aril Eles, Sharee Lopes dan Pasya turut memberikan persembahan dan persaingan sengit.