Belum berani buat konsert bertaraf mega - Dayang Nurfaizah - Utusan Malaysia

Belum berani buat konsert bertaraf mega – Dayang Nurfaizah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Lebih dua dekad mengukir nama dalam industri muzik tanah air tidak menjamin penyanyi tersohor, Dayang Nurfaizah berani mengambil risiko mengadakan konsert mega solo dalam masa terdekat.

Dayang, 44, atau nama penuhnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, mengakui belum mempunyai keyakinan untuk merealisasikan impian tersebut kerana enggan menghampakan peminat sekiranya persembahan tidak mencapai standard yang diharapkan.

“Saya tidak mahu buat konsert sekadar melepaskan batuk di tangga. Kalau saya buat, ia mesti sempurna dan benar-benar memberi kepuasan kepada peminat,” katanya ketika ditemui selepas showcase Janji With Dayang (Penang) di Top View @ The Top, Komtar, di sini semalam.

Menurut Dayang, setiap perincian seperti pentas, visual, susunan muzik dan konsep persembahan sudah terbayang dalam fikirannya, namun pelaksanaannya memerlukan perancangan rapi serta kos yang tinggi.

“Bukan mahu terlalu berbeza, tetapi saya banyak mengambil rujukan daripada artis luar negara. Cuma cabarannya ialah mencari pasukan yang benar-benar memahami visi ini kerana ia melibatkan bajet, produksi dan kualiti bunyi,” jelasnya.

Tambah penyanyi lagu Hakikat Cinta itu, antara perkara utama yang menjadi pertimbangannya ialah memastikan harga tiket tidak membebankan peminat.

“Saya mahu semua peminat dapat hadir dan berseronok. Kalau konsert terlalu mahal, mereka akan rasa terbeban. Itu bukan apa yang saya mahukan,” katanya.

Dalam pada itu, Dayang meluahkan rasa puas hati terhadap penganjuran showcase di lokasi ikonik Komtar yang berlangsung tanpa sebarang bumbung.

“Alhamdulillah, cuaca mengizinkan dan penonton pun gembira. Ini pengalaman baharu buat saya kerana mula-mula bimbang hujan turun. Namun, saya sudah bersedia, kalau hujan renyai, saya teruskan.

“Kalau lebat, berhenti sekejap,” ujarnya.

Dayang mendendangkan kesemua lagu daripada album terbaharunya Janji termasuk Lemah, Mungkin Ke? dan Esok Lusa Selamanya, selain menghiburkan peminat dengan lagu-lagu hit seperti Dayang Sayang Kamu dan Mana Mungkin.

Showcase Janji With Dayang yang dibawakan oleh Usanita Entertainment dan Mask Team ini akan diteruskan di Kuala Lumpur Tower pada 27 September 2025. Tiket boleh didapati secara dalam talian di www.ticket2u.com.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN