Aris Lufias sedih masih ramai kurang faham mengenai autisme - Utusan Malaysia

Aris Lufias sedih masih ramai kurang faham mengenai autisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pempengaruh media sosial, Ariz Lufias, meluahkan rasa simpati terhadap keluarga yang membesarkan anak-anak autistik dan menyeru masyarakat agar lebih berempati terhadap golongan istimewa ini.

Menerusi satu kenyataan di media sosial, Ariz berkongsi pengalamannya menonton sebuah video di TikTok yang memaparkan seorang jiran mengadu tentang kanak-kanak autistik membuat bising.

Menurut anggota kumpulan Forteen ini, sebagai individu yang mempunyai anak saudara dengan autisme tahap tiga (severe autism), dia mengakui sedih apabila membaca pelbagai komen warganet yang kurang memahami situasi sebenar.

“Terus terang saya sedih membaca ruangan komen. Namun saya faham, tidak semua orang selesa dengan keadaan itu dan perasaan mereka adalah sesuatu yang harus divalidasi,” jelasnya.

Ariz turut menerangkan bahawa autisme berada pada spektrum yang luas, dengan tahap berbeza bagi setiap individu.

Malah, katanya, tidak semua keluarga mampu mendapatkan rawatan atau terapi khusus yang diperlukan.

“Membesarkan anak autistik memerlukan kesabaran dan kekuatan. Kadang orang nampak Aisy (anak buah) kelihatan tenang, tetapi ada masanya berlaku ‘meltdown’ atau tantrum yang saya tidak kongsikan di media sosial.

“Sebabnya, saya tidak mahu berdepan komen daripada mereka yang tiada empati,” katanya.

Menurut Ariz, dia memilih untuk tidak berkecil hati terhadap pihak yang tidak memahami kerana sedar mereka mungkin tidak pernah melalui pengalaman tersebut.

Dalam pada itu, Ariz menitipkan doa dan semangat kepada semua keluarga yang mempunyai anak atau ahli keluarga yang didiagnos dengan autistik.

“Semoga diberikan kekuatan, kesabaran dan dipermudahkan segala urusan. Insha-Allah,” ujarnya.

Sementara itu, beberapa pengguna media sosial turut berkongsi pandangan dan pengalaman masing-masing berhubung isu berkenaan.

Seorang pengguna yang juga guru tadika berkata, menguruskan kanak-kanak autistik memerlukan tahap kesabaran yang tinggi kerana mereka cenderung bersikap hiperaktif dan mengeluarkan bunyi bising yang kadangkala sukar diterima oleh orang sekeliling.

“Saya pernah mengendalikan pelbagai jenis murid autistik termasuk mild autism dan ADHD. Memang memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.

“Kos untuk menghantar ke terapi pula agak tinggi,” katanya.

Seorang lagi pengguna berkongsi pengalaman membesarkan anak autisme tahap teruk (severe autism), sambil mengakui tidak semua keluarga mampu tinggal di rumah yang jauh dari kejiranan demi mengurangkan rungutan jiran.

“Kalau kita ikat kaki, tangan atau mulut anak, nanti orang kata zalim. Tapi kadang-kadang orang sekeliling seolah-olah memaksa kita buat sampai tahap begitu,” luahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN