Amal pemakanan cara orang Jawa, rahsia Ruminah Sidek kekal sihat - Utusan Malaysia

Amal pemakanan cara orang Jawa, rahsia Ruminah Sidek kekal sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Ruminah Sidek, 80, atau lebih mesra disapa sebagai Mak Mah, bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik selain kekal bertenaga meskipun sedar ramai kalangan rakan sebayanya kini berdepan masalah kesihatan.

Menurut Mak Mah, rahsia kesihatannya terletak pada gaya hidup sederhana yang diamalkan sejak muda, antaranya tidak mengambil minuman berkafein seperti teh dan kopi.

“Ramai rakan sebaya mengadu sakit kepala atau sakit kaki, tapi Alhamdulillah saya masih sihat. Sejak kecil saya memang tak pernah minum teh atau kopi, hanya minum air oren sahaja.

“Satu lagi, orang lain elak minum air sejuk, tapi saya tiada masalah. Saya minum saja air sejuk.

“Apa pun, semuanya saya serahkan kepada Allah,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Indera di Kuala Lumpur,semalam.

Lebih mengejutkan, walaupun pernah disahkan menghidap darah tinggi dan kencing manis, Mak Mah mengakui dia tidak bergantung kepada ubat-ubatan moden.

“Saya memang tak makan ubat sebab terlalu banyak untuk ditelan. Ada yang sampai tujuh biji nak kena telan. Saya lebih selesa jaga pemakanan sahaja, seperti masakan tumis air orang Jawa, tak bukan lauk berat-berat.

“Dulu anak-anak ada juga menasihati saya, tapi sekarang mereka pun sudah tak cakap banyak,” ujarnya sambil tersenyum.

Selain itu, ibu kepada aktor, Adlin Aman Ramli itu turut menegaskan, keyakinannya kepada ketentuan Allah SWT amat kuat.

Namun, ia bukan bermaksud dirinya mengabaikan penjagaan kesihatan.

“Bukanlah tunggu sakit teruk baru nak bertindak. Cuma kalau difikirkan, kita pun tak tahu apa sebenarnya bahan yang ada dalam ubat moden sekarang.

“Satu mengenai saya, keyakinan saya kepada Allah sangat kuat. Tapi bukanlah maksudnya tunggu sakit teruk baru nak bertindak,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Mak Mah turut membintangi filem genre seram berjudul Indera yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air mulai 7 Ogos ini.

Filem itu turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Shaheizy Sam, Samara Kenzo dan Azira Syafinaz.

Berlatar belakangkan tragedi Peristiwa Memali pada tahun 1985, filem ini berkisarkan tentang seorang balu dan anak perempuannya yang sering mengalami ‘mysterious visions’ di sebuah kampung terpencil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN