Shiha Zikir terkilan individu tidak pulangkan Oyen - Utusan Malaysia

Shiha Zikir terkilan individu tidak pulangkan Oyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi dan usahawan, Shiha Zikir, meluahkan rasa terkilan apabila usaha untuk mendapatkan semula seekor kucing jalanan yang menjadi kegemaran ramai di kawasan restorannya masih belum berhasil.

Kucing berwarna oren yang diberi nama Oyen itu difahamkan telah diambil oleh seorang individu tanpa pengetahuan Shiha atau kakitangannya baru-baru ini.

Sejak insiden tersebut tular dalam kalangan pelanggan dan pengikutnya di media sosial, pelbagai usaha telah dilakukan oleh penyanyi itu bagi mengesan semula keberadaan haiwan tersebut yang telah dianggap sebahagian daripada komuniti di Seksyen 7, Shah Alam.

Menerusi satu kenyataan di Threads, Shiha mengakui amat menghargai bantuan seorang individu yang menghubunginya melalui pesanan peribadi (DM) yang sanggup bertindak sebagai orang tengah untuk menghubungi pihak yang dipercayai telah mengambil Oyen.

“Semalam saya kurang sihat dan sedang menyelesaikan beberapa urusan kerja, tetapi individu ini rela hati bantu berhubung dengan orang yang ambil Oyen, walaupun saya sendiri tidak dapat melakukannya ketika itu.

“Tetapi tak sangka pula tindakannya itu telah disalahertikan oleh pihak berkenaan yang menganggap Shiha sengaja tidak mahu berurusan secara langsung.

“Dia marah sangat, siap cakap ‘besar sangat ke dia tu sampai tak boleh DM saya sendiri?’ Sungguh, tak pernah terlintas pun. Cuma keadaan tak mengizinkan.

“Tambahan pula, Oyen memang disayangi ramai di kawasan itu, bukan saya seorang. Malas nak gaduh dengan orang yang tak faham,”jelasnya.

Shiha turut menjelaskan bahawa Oyen bukanlah kucing peliharaannya secara rasmi, sebaliknya seekor kucing jalanan yang telah lama ‘menetap’ di hadapan kedainya, Shiha Zikir Nasi Ayam, sejak sebelum perniagaan itu dibuka.

“Kucing tu memang dah bertahun-tahun ada kat kawasan itu. Lepas saya buka kedai, jiran-jiran pun perasan dia suka duduk depan kedai saya.

“Jadi, kakitangan saya beri Oyen makan dan pakaikan rantai supaya orang tahu dia dijaga,” katanya.

Tambah penyanyi yang pernah membela lebih 30 ekor kucing dalam satu masa itu, walaupun Oyen bukanlah haiwan peliharaan secara rasmi, kasih sayang terhadapnya tetap mendalam.

“Saya memang pencinta kucing sejak dulu. Sekarang fokus jaga lapan ekor di rumah. Tapi kalau jumpa kucing jalanan, saya tetap akan beri makan.

“Oyen pun sama. Saya cuma harap dia dapat dijaga oleh orang yang benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab,”katanya.

Shiha turut merayu agar tidak timbul salah faham dalam kalangan warganet dan masyarakat sekitar.

“Sekali lagi saya tegaskan, Oyen bukan kucing peliharaan sendiri, tetapi dia sangat disayangi oleh komuniti di sini.

“Doakanlah semoga hati saya sembuh dari kesedihan ini. Dari semalam saya menangis,” luahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN