Saya pernah marah pekerja ambil cuti sakit kerana anak - Atikah Suhaime - Utusan Malaysia

Saya pernah marah pekerja ambil cuti sakit kerana anak – Atikah Suhaime

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Atikah Suhaime, 35, mengakui pernah bersikap kurang empati terhadap ibu bapa yang mengambil cuti sakit kerana anak.

Menerusi perkongsian dalam sesi siaran langsung di TikTok bersama Zaitun, Atikah bagaimanapun menjelaskan bahawa pandangannya terhadap isu tersebut berubah 360 darjah selepas menimang cahaya mata.

“Dulu kalau ada staf yang tak boleh hadir kerja sebab anak tak sihat atau tiada orang jaga anak, saya anggap itu alasan.

“Saya pernah marah mereka, saya cakap itu bukan alasan, tanggungjawab tetap tanggungjawab,” katanya dalam satu temu bual dengan media.

Namun kini, selepas bergelar ibu, Atikah berkata dia berasa bersalah atas kata-kata dan tindakan lampau.

“Bila saya sendiri dah ada anak, baru saya sedar betapa sukarnya nak uruskan semuanya.

“Saya minta maaf kepada sesiapa yang saya pernah marah dulu sebab kena ambil cuti kerana anak,” luahnya.

Menurutnya lagi, dia berasa bertuah kerana mempunyai suami yang amat memahami dan sanggup menyediakan dua orang pengasuh demi memastikan kehidupannya kekal seimbang antara kerjaya dan keluarga.

“Saya bersyukur sangat. Kalau saya duduk di Singapura dan kena jaga anak seorang diri tanpa pembantu, saya tak tahu macam mana nak hadapi.

“Memang boleh jadi gila,” katanya yang turut berkongsi memiliki tiga pembantu rumah, seorang pengasuh khas untuk anak, manakala dua lagi membantu kerja dapur dan urusan rumah.

Dalam pada itu, Atikah turut berkongsi mengenai penglibatannya dalam siri animasi My Stupid Boss yang telah dirakam sejak sebelum dirinya berkahwin lagi.

“Kami dah rakam lama, sebelum saya kahwin pun. Cuma proses animasi ambil masa lama sebab semuanya berasaskan imaginasi.

“Kami rakam dua hari di Indonesia dengan arahan pengarah dari sana, jadi kadang-kadang susah juga nak faham bahasa Indonesia,” jelasnya.

Menariknya, kata Atikah lagi, watak Bossman dalam siri tersebut mempunyai banyak persamaan dengan adik iparnya, Tuan Nizam, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Zaitun.

“Semua nak ‘on budget’, semua kena jimat. Staf Zaitun selalu datang mengadu dekat saya. Saya ini dah macam kerani, sama macam watak Bunga Citra Lestari dalam siri itu,” katanya berseloroh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN