MANCHESTER: Kumpulan rock ikonik Britain, Oasis, menegaskan, peminat tidak perlu berasa segan atau menyembunyikan kasih sayang ketika menghadiri konsert mereka.
Ketika membuat persembahan di Manchester pada baru-baru ini, vokalis utama Liam Gallagher secara terbuka mengalu-alukan kehadiran pasangan yang sedang dilamun cinta.
“Adakah kita ada pasangan bercinta dalam dewan malam ini? Jangan risau, kami bukan macam Coldplay yang ada kamera menjengkelkan.
“Kami tak kisah dengan siapa anda bercinta. Itu semua bukan urusan kami,” katanya lantang sambil disambut sorakan peminat.
Kenyataan tersebut dipercayai merujuk secara langsung kepada kontroversi yang melibatkan kumpulan Coldplay baru-baru ini, berikutan insiden ‘kiss cam’ (kamera ciuman) yang tular sewaktu konsert mereka di Stadium Gillette, Foxboro, Massachusetts pada 16 Julai lalu.
Dalam kejadian tersebut, sepasang kekasih menjadi tumpuan kamera ketika segmen ‘kiss cam’ ditayangkan di skrin gergasi.
Namun, reaksi pasangan itu mencuri perhatian ramai apabila si wanita dilihat menutup muka manakala lelaki yang bersamanya pula segera mengelak dari dirakam.
Insiden itu mengundang pelbagai spekulasi sehingga vokalis Coldplay, Chris Martin, berseloroh dengan berkata, “Mereka mungkin sedang menjalinkan hubungan sulit, atau mungkin juga terlalu pemalu,”
Lebih mengejutkan, tidak lama selepas video tersebut menjadi tular, sebuah syarikat teknologi yang dikenali sebagai Astronomer tampil membuat pengumuman mengejutkan.
Tanpa mendedahkan identiti individu dalam video, syarikat itu memaklumkan telah memulakan siasatan dalaman dan menegaskan bahawa pihak pengurusan perlu menjadi teladan dari segi kelakuan serta akauntabiliti.
Beberapa jam kemudian, syarikat itu mengesahkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutifnya, Andy Byron, telah diberi cuti sementara.
Pada keesokan harinya, pihak syarikat mengumumkan bahawa Byron telah meletakkan jawatan.
Pemangku CEO, Pete DeJoy, turut mengeluarkan kenyataan rasmi pada Isnin, 21 Julai, bagi mewakili syarikat tersebut.
Kontroversi yang berpunca daripada satu detik singkat di layar konsert itu kini menjadi perbualan hangat di peringkat global, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai privasi dan batasan dalam hiburan langsung.