KUALA LUMPUR : Isteri kepada pelawak dan usahawan, Shuib Sepahtu, Watie Hanifiah,
tampil memberi penjelasan berhubung video tular membabitkan anak tirinya, Thalita, yang didakwa bersikap kurang sopan.
Menurut Watie, 35, dakwaan kononnya Thalita bersikap biadab dalam siaran langsung di TikTok baru-baru ini hanyalah satu salah faham dan tidak wajar diperbesarkan.
“Perkara itu berlaku secara spontan ketika kami sedang membuat siaran langsung di TikTok.
“Thalita mungkin tidak menyedari nada percakapannya kerana ketika itu dia sedang berinteraksi dengan para penonton.
“Saya hidup bersamanya dan saya sangat mengenali Thalita. Jika benar dia bersikap kasar, saya pasti akan menegurnya.
“Namun dalam keadaan tersebut, saya percaya dia tidak berniat untuk bercakap begitu,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan anjuran syarikat Inayah Beauty bersama Yayasan Nurjiwa di ibu negara, hari ini.
Video yang dimuat naik di laman sosial itu memaparkan Thalita memanggil Watie dengan panggilan ‘woi’, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan netizen yang menyifatkan perbuatan itu sebagai kurang sopan terhadap orang lebih dewasa.
Mengulas lanjut, Watie memaklumkan, dia mengambil langkah awal untuk menjelaskan perkara tersebut kepada Thalita agar anak tirinya itu tidak terkesan atau salah faham dengan kecaman yang diterima.
“Sebaik video itu menjadi bualan, saya terus berterus terang dengan Thalita. Saya beritahu perkara sebenar supaya dia tidak terkejut atau terluka apabila membaca komen-komen netizen.
“Saya juga tidak mahu dia merasa bersalah atau menyangka saya sengaja memuat naik video tersebut untuk membuka ruang kepada kecaman,” ujarnya lagi.
Thalita merupakan anak kedua kepada Shuib hasil perkahwinan terdahulu bersama Allahyarham penyanyi Siti Sarah Raisuddin.
Untuk rekod, Watie dan Shuib mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2023 dalam satu majlis tertutup yang dihadiri ahli keluarga terdekat serta rakan selebriti.