KUALA LUMPUR: Pelakon muda, Zarif Ghazzi, 21, menafikan dakwaan kononnya terkena penyakit ain gara-gara sering jatuh sakit setiap kali memasuki sesebuah set penggambaran baharu.
Menurut pelakon ini, secara peribadi, keadaan itu juga membuatkan dirinya berasa hairan namun menolak ia punyai kaitan dengan penyakit ain.
“Macam sekarang, esok (hari ini), saya dah nak mulakan penggambaran drama baharu, tiba-tiba mata pula jadi merah. Saya pun tak tahu kenapa.
“Bangun pagi tadi terus sakit, ada gatal-gatal dan saya dah dua kali pergi klinik. Doktor beritahu ada jangkitan. Saya pun hairan sebab selalu kena macam ini.
“Sebelum ini, semasa berada di set penggambaran di Perlis untuk drama Abang Imam, Minah Skuter, hari pertama berlakon, hidung saya berdarah. Ada juga masa lain saya demam. Tapi Alhamdulillah, semua berjalan dengan lancar,”katanya.
Zarif berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran drama Abang Imam Minah Skuter dan sesi pickle ball bersama Viu di Lumi Tropicana, semalam.
Meskipun begitu, kata Zarif, dia menganggap gangguan kesihatan yang dialami sebagai satu ujian dan pembakar semangat untuk dirinya terus aktif dalam dunia lakonan.
“Saya anggap ini semua ujian. Allah tak akan bagi ujian kalau Dia tahu kita tak mampu. Saya anggap ini sebagai semangat untuk saya teruskan perjuangan dalam industri.
“Sebab itu saya tolak andaian bahawa ini berkaitan penyakit ain. Saya tak pernah rasa macam itu.
“Tak dinafikan, pernah sahaja saya alami situasi contohnya orang cakap depan saya baik, belakang saya dengar ada cakap-cakap lain. Tapi saya tak kisah. Saya okey sahaja dengan semua orang,”katanya.
Dalam pada itu, Zarif berkata, dia tidak pernah membuat rawatan khusus seperti perubatan alternatif namun meletakkan kepercayaan kepada kekuatan doa dan sokongan keluarga serta peminat.
“Saya tak pernah rasa nak berubat cara macam itu. Saya cuma jalani rawatan biasa di klinik atau hospital untuk sakit fizikal macam ini,
“Saya percaya selahi saya ada mak, abah, dan peminat yang mendoakan saya, insya-Allah saya terus kuat.
“Apa yang penting, macam mana pun saya sakit, tapi projek atau kerja tetap berjalan lancar. Alhamdulillah, saya masih ada dalam industri ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Zarif muncul membawakan watak Zarul dalam drama arahan Helmi Yusof itu yang turut diterbitkan oleh Viu dengan kerjasama Zeel Production.
Selain Zarif, drama ini turut dibintangi Bella Dowanna, Zulin Aziz, Bella Hanna, Sharifah Rose, Marc Sadique, Amir Haikal, Khai Bahar, Usop Wilcha, Kazar Saisi, Acong Sweetchild dan Man Raja Lawak.
Drama ini akan mula ditayangkan secara eksklusif di platform Viu bermula hari ini.