Gangguan seksual, satu kelakuan tidak bermoral - Raisa - Utusan Malaysia

Gangguan seksual, satu kelakuan tidak bermoral – Raisa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi popular dari seberang, Raisa, 35, melahirkan rasa simpati dengan nasib yang menimpa rakan seperjuangan, Nadin Amizah, yang menjadi mangsa gangguan seksual di sebuah konsert di Bekasi, Indonesia, baru-baru ini.

Menurut Raisa, tindakan sebegitu dianggap tidak bermoral apatah lagi berlaku dalam sebuah acara hiburan yang mana situasinya sukar dikawal.

“Alhamdulillah, tidak pernah situasi seperti itu memang susah, sebab ramai. Sampai sekarang saya tak pernah alami kejadian seperti itu dan mengharapkan tak akan pernah berlaku.

“Saya sangat bersimpati dengan dia (Nadin). Ini isu serius, orang yang buat persembahan itu bukan barang yang boleh dipegang sesuka hati tanpa persetujuan.

“Situasi itu sulit. Saya harap orang menghormatinya,”katanya ketika ditemui di majlis pelancaran album terbaharu berjudul Ambivert di Sunway Putra Hotel, di sini, semalam.

Selain itu, penyanyi lagu Kali Kedua dan Teristimewa itu berpendapat, pihak penganjur sesebuah majlis dapat menitik beratkan soal keselamatan dan berharap insiden seperti ini menjadi pengajaran.

Tidak cuma itu, baginya penonton dan peminat yang hadir juga perlu menghormati hak privasi dan batasan ketika berada di sesebuah acara hiburan.

“Dari sisi kawalan keselamatan, ia juga harus ada jaminan buat kedua-dua pihak iaitu buat audiens dan juga penyanyi.

“Sebelum acara ‘meet and greet’ atau acara dimulakan kita akan ada sesi taklimat untuk menjelaskan situasi yang akan terjadi.

“Bukan hanya penyanyi, penonton juga harus berjaga-jaga kerana mungkin berisiko berdepan dengan situasi sama.

“Mudah-mudahan ia jadi pengajaran buat semua supaya selepas ini lebih selamat semasa berada di acara hiburan,”katanya.

Sebelum ini, penyanyi, Nadin Amizah, meluahkan rasa sedih apabila dirinya menjadi mangsa gangguan seksual peminat semasa mengadakan persembahan di negara kelahirannya.

Kejadian tersebut baginya sangat menjijikkan selain menyifatkan individu terbabit tidak layak digelar peminat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN