Exist, Slam buktikan muzik Melayu ada magis - Utusan Malaysia

Exist, Slam buktikan muzik Melayu ada magis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malam Sabtu lalu menyaksikan sejarah tercipta apabila dua kumpulan lagenda tanah air, Slam dan Exists, berkongsi pentas dalam konsert penuh emosional dan magis, Slam X Exists: Our Journey, yang berlangsung di Mega Star Arena, Plaza Sungei Wang, di sini.

Sekitar 5,000 penonton membanjiri ruang arena yang bertukar menjadi lautan manusia bertemakan warna hitam dan emas, simbol prestij, kenangan dan penghargaan buat dua nama besar dalam landskap muzik tempatan.

Menepati judulnya, Our Journey, konsert ini membawa penonton menyusuri perjalanan panjang dua kumpulan yang pernah mengungguli carta lagu-lagu Melayu era 90-an dan awal 2000-an.

Sebelum persembahan bermula, penonton disajikan dengan tayangan montaj perjalanan seni Slam dan Exists.

Paparan itu bukan sahaja menggamit kenangan, malah mengundang senyuman dan air mata dalam kalangan yang pernah membesar bersama lagu-lagu mereka.

Persembahan dibuka dengan kumpulan Exists yang mendendangkan lagu malar segar Jesnita diikuti Kembali Merindu, yang serta-merta membuatkan suasana bergema dengan sorakan peminat.

Vokalis utama Exists, Ezad Lazim, tampil penuh yakin dan bersahaja menyapa para penonton.

“Julung kali Exists dan Slam bersama di pentas sama. Malam ini memang bertuah untuk kita semua,” ujar Ezad.

Barisan lagu seperti Mama Tolonglah Percaya, Anugerah II, Masih Terserlah Ayumu, Seperti Dulu dan Kapal Terbang Kertas menggamit memori lama, sebelum dihanyutkan pula dengan Bunga, Julia dan Rahsia Pohon Cemara, lagu yang jelas membuai emosi ramai.

Tidak cuma itu, ketika lagu Langkah Seiringan dan Mengintai Dari Tirai Kamar bergema, hampir keseluruhan arena bersatu dalam satu suara laksana koir spontan.

Exists turut membuat kejutan apabila mendendangkan lagu Tak Mungkin Berpaling, lagu asal Slam yang pernah dirakam semula oleh mereka.

Ezad mengakui lagu itu amat dekat di hati kumpulan mereka.

Keterujaan memuncak saat Ajai menyeru penonton berdiri ketika lagu Kerana Percayakan Siti, yang membuktikan bahawa muzik mereka tetap relevan dan diminati pelbagai peringkat umur.

Turut hadir memberikan sokongan ialah individu penting di sebalik kejayaan Exists seperti Mr. Tan, Datuk Aziz Bakar dan komposer prolifik, Saari Amri, wajah-wajah yang cukup sinonim dengan industri muzik tanah air.

Sejurus Exists menamatkan persembahan, pentas diambil alih Slam yang tampil penuh karisma dengan lagu pembukaan Nurkasih, disusuli Kita Tetap Bermusuhan, Kurnia, dan Manisnya Rindu.

Zamani, vokalis ikonik Slam, turut mengambil kesempatan memohon doa daripada penonton buat bekas pengurus mereka, Johan Aziz yang kini sedang diuji dengan kesihatan.

Kemudian, seleksi lagu seperti Biarkan Ia Pergi, Jika Kau Rasa Getarnya, Suratan, Gerimis Mengundangdan Menteri Muncul Lagi dinyanyikan sekali gus menghidupkan kembali ingatan terhadap zaman kegemilangan mereka.

Slam turut menyajikan medley tiga lagu ikonik mereka iaitu Buat Seorang Kekasih, Bukan Niat Membalas Derita dan Maria Mariana, yang disambut penuh semangat oleh peminat.

Namun detik paling menyentuh malam itu tiba apabila Slam menyanyikan Untukmu Ibu, lagu asal Exists.

Menuju ke penghujung konsert, Slam dan Exists kembali bersatu di pentas menyampaikan lagu Kembali Terjalin dan Alasanmu 2025, sebuah kemuncak yang menzahirkan kehebatan dua legasi hebat.

Pengalaman selama tiga jam itu menyaksikan

Konsert Slam X Exists: Our Journey bukan sekadar sebuah persembahan tetapi ia adalah penghargaan terhadap muzik Melayu.

Sekali gus memberi satu peringatan bahawa karya yang jujur dan tulus tidak akan pernah lenyap ditelan zaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN