Akta Hasutan: Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Muhyiddin

Akta Hasutan: Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mengembalikan permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merujuk empat persoalan undang-undang berkaitan Akta Hasutan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Perkara itu diputuskan selepas panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, memberi pilihan kepada peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin.

Selepas berbincang dengan anak guam, Amer Hamzah bersetuju persoalan berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar dan diputuskan.

Turut bersidang ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah dan hakim-hakim lain, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Hakim Abu Bakar berkata, rujukan persoalan ke Mahkamah Persekutuan adalah tindakan yang membuang masa kerana sebarang keputusan Mahkamah Tinggi jika tidak memihak kepada pemohon (Muhyiddin) masih boleh dirayu.

“Mahkamah ini enggan menjawab sebarang persoalan (empat persoalan Akta Hasutan) yang dikemukakan pada peringkat ini.

“Oleh demikian, kes semasa di hadapan kami ini dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan. Apa-apa perkara boleh dibawa ke Mahkamah Tinggi. Tiada sebarang halangan atau larangan yang diperintahkan oleh mahkamah ini,” kata Hakim Abu Bakar di sini hari ini.

Selain Amer Hamzah, pemohon turut diwakili peguam Rosli Dahlan, Chetan Jethwani, Joshua Tay H’ng Foong, Lee Yee Woei dan Tang Jia Yearn.

Timbalan Pendakwa Raya pula diwakili oleh Saiful Hazmi Mohd Saad, Datuk Ahmad Sazali Omar dan Nadia Mohd Izhar.

Amer Hamzah berkata, objektif pemohon adalah agar persoalan yang dibangkitkan dapat dijawab pada peringkat awal kerana ia akan memudahkan Mahkamah Tinggi kelak, termasuk dalam membuat keputusan sama ada sesuatu kes wajar diteruskan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, atas nasihat panel, pihaknya menerima pendirian mahkamah bahawa persoalan tersebut merupakan isu penting yang boleh diputuskan di Mahkamah Tinggi.

“Isu ini adalah isu yang penting dan masih hidup. Inilah isu utama yang ingin kami bangkitkan dan persoalan-persoalan berkaitan sepatutnya dijawab. Persoalan yang tinggal hanyalah siapa yang perlu menjawabnya.

“Petunjuk yang diberikan mahkamah adalah jelas, dengan penekanan utama terhadap elemen ‘niat’ serta ketepatan fakta,” katanya.

Antara persoalan yang dipertikai adalah sama ada Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dibaca bersama Seksyen 3(3) akta sama, terjumlah kepada suatu sekatan yang tidak munasabah dan bercanggah Fasal 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga membabitkan sama ada Seksyen 3(2) akta serupa yang dibaca bersama Seksyen 3(3) akta sama adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah hak tertuduh mendapatkan perbicaraan yang adil.

Pada 4 Februari tahun lalu, Muhyiddin, 79, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, antara pukul 10.30 malam dan 11.50 malam, 14 Ogos 2024.

Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau tidak dijemput Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4 (1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Kes itu pada asalnya disebut di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan pada 27 Ogos 2024, sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN