Dapat sokongan Siti Nurhaliza, mungkin dia kasihankan saya dan anak-anak - Aliff Syukri - Utusan Malaysia

Dapat sokongan Siti Nurhaliza, mungkin dia kasihankan saya dan anak-anak – Aliff Syukri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pempengaruh dan usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri meluahkan rasa terharu apabila mengetahui Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza membuat pembelian beg tangan jenama keluarannya ketika sesi penstriman langsung (live) di TikTok.

Menurut Aliff, pada awalnya tidak menyangka penyanyi tersohor tanah air itu benar-benar membeli produknya ketika sesi siaran langsung bersama anak-anak baru-baru ini.

“Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah antara individu yang saya langsung tidak jangka akan membeli beg keluaran saya.

“Jujurnya, saya rasa mungkin beliau kasihankan saya dan anak-anak. Namun, saya tetap bersyukur dengan sokongan yang diberi.

“Lagipun, beliau memang kerap menyertai sesi live saya sebelum ini, tetapi saya tak sangka kali ini beliau benar-benar membuat pembelian,” ujar beliau ketika ditemui di kediamannya di Kota Damansara, semalam.

Tambah Aliff, pembelian tersebut hanya disedari selepas para pengikutnya memaklumkan perkara itu di ruangan komen ketika beliau sedang rancak bersiaran langsung.

“Saya tengah buat live waktu pagi bersama anak-anak, tiba-tiba ramai komen kata Datuk Siti beli beg saya.

“Biasanya bila ada pembelian, akan terpapar notifikasi ‘done payment’, tapi saya langsung tak perasan waktu itu,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Aliff menyifatkan tindakan penyanyi Bukan Cinta Biasa itu sebagai satu bentuk penghormatan besar kepada dirinya dan juga kepada usahawan-usahawan tempatan yang berjuang memartabatkan produk keluaran sendiri.

“Alhamdulillah, beliau menyokong beg saya. Kalau seorang figura seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza pun sudi membeli dan menyokong jenama tempatan, saya rasa sungguh terharu.

“Kita tahu beliau memang mampu memiliki beg-beg berjenama mewah antarabangsa, namun beliau tetap memilih untuk menyokong produk tempatan.

“Itu satu penghormatan yang amat besar buat saya,” katanya.

Dalam pada itu, Aliff turut berkongsi hasratnya untuk mencipta rekod tersendiri apabila berazam menembusi Malaysia Book of Records melalui pencapaian Kutipan Jualan Beg Tangan RM1 Juta Terpantas Melalui Penstriman Langsung yang bakal berlangsung pada 3 Ogos ini jam 8 malam menerusi akaun TikTok rasmi @papalarisofficial.

Aliff memaklumkan, sesi tersebut akan memperkenalkan koleksi baharu beg tangan eksklusif dikenali sebagai Samma Bag Denim Edition, yang dijadikan taruhan utama bagi menjayakan misi penciptaan rekod bersejarah itu.

“Saya berharap rakyat Malaysia terus memberikan sokongan kepada produk tempatan.

“Ini bukan sekadar jualan beg, tetapi simbol perjuangan usahawan bumiputera yang mahu berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN