KUALA LUMPUR: Siapa sangka, hanya kerana tidak mampu membeli sebiji bola keranjang ketika hidup dalam serba kekurangan, tiga anak muda dari Jepun kini menjadi fenomena antarabangsa dalam dunia komedi fizikal.
Itulah permulaan perjalanan unik kumpulan pelawak Jepun, Wannabes, yang kini meniti populariti di peringkat global setelah mencuri perhatian ramai menerusi penyertaan mereka dalam program realiti terkenal, Britain’s Got Talent pada tahun lalu.
Menurut salah seorang ahlinya, Gon, kumpulan Wannabes diasaskan bersama rakan karibnya, Chiro, sebelum Guri menyertai mereka kira-kira enam tahun lalu selepas tertarik dengan persembahan mereka di kaca televisyen.
“Dulu kami sangat miskin. Kami cuma mahu beli bola keranjang, tapi tidak mampu.
“Jadi kami pura-pura menjadi bola keranjang,” katanya bersahaja ketika ditemui di Ekspo Jepun Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Tindakan melakonkan watak bola keranjang itu akhirnya mencetuskan idea untuk menubuhkan kumpulan lawak yang mempersembahkan genre komedi fizikal, satu bentuk hiburan yang masih asing dan kurang mendapat sambutan di Jepun pada ketika itu.
Namun, berkat kesungguhan dan daya kreatif mereka, trio berkenaan terus memperjuangkan pendekatan tersendiri itu biarpun menerima pelbagai cabaran pada peringkat awal.
“Di Jepun, tiada kumpulan yang membuat lawak fizikal seperti kami. Boleh dikatakan, kami pelopor dalam genre ini.
“Apa yang kami buat tidak boleh ditiru kerana ia datang dari pengalaman dan cara kami sendiri,” ujar Gon lagi.
Tambahnya, mereka sebelum ini turut menjadikan Menara Tokyo sebagai pentas tetap dengan mengadakan sehingga 14 persembahan selama 20 minit setiap hari, yang kebanyakannya ditonton oleh pelancong luar negara.
Kreativiti luar kotak yang dipersembahkan akhirnya membuka mata dunia, dan nama Wannabes kini meniti dari mulut ke mulut, seiring permintaan tinggi untuk mereka tampil membuat persembahan di pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, Filipina, Itali dan Sepanyol.
Peluang menembusi pasaran global itu turut diperkukuhkan menerusi kewujudan saluran YouTube mereka, Bicsmalln Channel, yang kini mengumpul lebih 3.5 juta pengikut dari seluruh dunia.
“Ketika pandemik COVID-19, kami tidak ada sebarang tawaran kerja mahupun pentas untuk membuat persembahan.
“Dari situlah kami mulakan saluran YouTube dan ternyata ia menjadi titik tolak kepada kemasyhuran kami,” katanya.
Wannabes kini berada di Kuala Lumpur sempena Japan Expo Malaysia 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Dewan 1, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Acara tersebut turut menghimpunkan pelbagai artis popular dari Jepun termasuk Manaka Inaba, Leon Niihama, Enishi, Rina-Hime, Jei dan Nico, selain persembahan daripada artis tempatan seperti Kyoto Protocol, KLP48 dan DJ Blink.