KUALA LUMPUR: Pelakon, Alya Iman tampil mempertahankan diri selepas teruk dihujani kecaman dan menjadi sasaran tuduhan tidak berasas yang mengaitkannya dengan kemelut rumah tangga pasangan selebriti, Zizi Kirana dan Yusof Baharin baru-baru ini.
Dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik, Alya menegaskan bahawa segala spekulasi dan tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya adalah fitnah semata-mata, sekali gus mencemarkan nama baik serta menjatuhkan reputasi beliau sebagai anak seni.
“Akibat daripada isu ini, saya telah menjadi sasaran tohmahan dan fitnah oleh netizen yang menyebarkan pelbagai kenyataan tidak berasas, mencaci dan melabel saya dengan pelbagai gelaran negatif.
“Segala tuduhan tersebut adalah fitnah yang mencemarkan nama saya.
“Penyebaran maklumat tidak sahih ini telah menyebabkan saya mengalami tekanan, kehilangan reputasi, dan kerjaya saya turut terjejas akibat kecaman terbuka masyarakat,”katanya.
Menurut Alya, segala tuduhan yang ditularkan di media sosial dilakukan tanpa sebarang bukti kukuh, sebaliknya hanya berdasarkan spekulasi dan persepsi semata-mata.
Sehubungan itu, sebagai usaha mempertahankan maruah dan hak dirinya, Alya memaklumkan dia juga telah mengambil tindakan undang-undang dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Saya telah mengambil langkah membuat laporan polis terhadap segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan.
“Langkah ini diambil bukan untuk menakut-nakutkan mana-mana pihak, tetapi bagi memastikan keadilan ditegakkan melalui saluran yang betul.
“Saya juga berharap tindakan ini dapat menjadi pengajaran kepada orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan sebarang maklumat, terutamanya di media sosial yang begitu mudah menular,” katanya.
Dalam pada itu, anak kepada pelakon legenda Allahyarham Azmil Mustapha ini turut mengakui bahawa dirinya bukan insan sempurna.
Namun, Alya menegaskan bahawa segala kesilapan masa lalu telah menjadi pengajaran paling besar dalam hidupnya.
“Saya tidak menafikan bahawa saya bukan insan yang sempurna. Tetapi apa yang berlaku sebelum ini biarlah menjadi pengajaran.
“Saya memilih untuk tidak mengulanginya dan terus melangkah ke hadapan dengan lebih baik. Hidup ini satu perjalanan pembelajaran, dan saya sedang berusaha untuk menjadi versi terbaik diri saya,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Alya turut menitipkan doa agar semua pihak yang terlibat dalam isu ini diberikan ketenangan dan petunjuk oleh Allah SWT.
“Saya mendoakan agar semua yang terlibat akan diberkati dan diredhai Allah SWT. Semoga kita semua belajar untuk lebih berhati-hati dalam kata-kata dan tindakan, demi menjaga maruah sesama insan,” katanya.