KUALA LUMPUR : Yayasan Nurjiwa kekal konsisten menyalurkan sumbangan berbentuk makanan kepada 10,000 rakyat Palestin setiap hari hasil sumbangan yang diterima mereka.
Menurut pengasasnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, sumbangan makanan itu diberikan kepada rakyat Palestin sebanyak dua kali sehari iaitu pada waktu siang dan malam.
“Alhamdulillah, kami dapat terus menyalurkan sumbangan kepada saudara kita di Palestin terutamanya dalam menyalurkan makanan kepada mereka setiap hari.
“Meskipun makanan masih dalam bentuk bijirin dan kekacang, makanan disalurkan secara berterusan dua kali sehari menerusi wakil kami di sana,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bersama Yayasan Nurjiwa X Inayah Beauty di sini hari ini.
Siti Nurhaliza berkata, yayasan juga bersyukur orang ramai masih terus menyalurkan sumbangan dan mempercayai kerja-kerja kebajikan yang dilakukan.
Beliau berkata, setiap sumbangan yang diterima serta aktiviti yang dilakukan dikongsikan kepada umum untuk menyampaikan maklumat berkaitan.
“Yayasan memang akan kongsikan setiap aktiviti yang kami lakukan kepada orang ramai dan ia tidak cuma di Palestin sahaja. Kami juga turut membantu mana-mana pihak yang memerlukan dalam negara.
“Sebagai contoh, sumbangan makanan turut kami berikan kepada pelajar-pelajar universiti yang berada dalam kategori B40 di Institusi Pendidikan terpilih setiap Jumaat,”katanya.
Dalam pada itu, Yayasan Nurjiwa bekerjasama dengan jenama Inayah Beauty bagi membaik pulih masjid di Palestin dengan kos RM300,000, Ramadan lalu.
“Projek membaik pulih masjid ini akan dilaksanakan oleh wakil Yayasan Nurjiwa yang menetap di kawasan tersebut.
“Yayasan Nurjiwa sebelum ini turut menubuhkan sebuah sekolah kanak-kanak di Gaza, Afwa Al- Afiyah, sebagai sebahagian daripada misi pendidikan dan perlindungan jangka panjang,” katanya.
Terdahulu, majlis diserikan oleh duta rasmi Inayah Beauty, Fasha Sandha, Bella Astillah Elisya Sandha, Watie Hanifiah, Intan Ladyana, Intan Najuwa dan Syed Saddiq.