PUCHONG : Pempengaruh, Zhiddin Zhiddan Abdul Aziz, mendedahkan, dirinya berhasrat untuk menjadikan Tanah Suci Mekah sebagai lokasi impian untuk mengadakan majlis pernikahannya kelak.
Kongsi anak kepada Allahyaham personaliti tv terkenal, Aziz Desa ini, hasrat itu mula terbit ketika dia melakukan ibadah umrah di Tanah Suci selama dua bulan pada tahun lepas.
“Saya menyimpan hasrat untuk mendirikan rumah tangga di sana. Impian itu mula datang sewaktu dua bulan saya berada di Tanah Suci.
“Ketenangan yang ada di sana telah membuatkan saya untuk datang kembali ke sana. Satu tujuan kenapa saya nak mendirikan rumah tangga di sana kerana sekiranya sepanjang melayari alam perkahwinan saya terlari dari landasan keluarga, maka saya akan kembali kepada agama.
“Sekali gus ia mengingatkan diri bahawa kenapa saya mendirikan rumah tangga di sana,”katanya.
Zhiddin berkata demikian ketika ditemui Majlis Korban Perdana dan Kenduri Rewang Ikhlas.com ST Rosyam Mart di Masjid Meranti, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya sasaran usianya untuk menamatkan zaman bujang, Zhiddin memaklumkan bahawa kemungkinan impiannya untuk berkahwin pada usia 25 tahun.
“Sasaran umur saya untuk berkahwin adalah dalam lingkungan 25 tahun. Bagaimanapun belum meluahkan hasrat tersebut kepada keluarga tetapi kepada pasangan sudah.
“Kami masih dalam fasa berkawan. Insya-Allah, Allah akan berikan jalan yang cukup indah dan dipermudahkan untuk urusan ini.
“Bagi saya, Allah tidak akan menguji hambanya di luar kemampuan. Sabar , usaha dan doa itulah tiga rencah kehidupan yang saya terus hasilkan.
“Kalau dapat pergi ke sana, rasa tercapailah hasrat saya,”katanya.