LOS ANGELES: Penyanyi terkenal antarabangsa, Taylor Swift telah memperolehi perintah larangan sementara daripada Mahkamah Tinggi Los Angeles terhadap seorang lelaki yang didakwa telah beberapa kali menceroboh kawasan kediamannya.
Lelaki terbabit kononnya berbuat demikian kerana mendakwa Taylor sebagai ibu kepada anaknya.
Menurut dokumen mahkamah yang dilaporkan oleh Billboard, lelaki terbabit dikenali sebagai Brian Jason Wagner, 45, dari Colorado.
Perintah tersebut ditandatangani oleh Hakim Debra R. Archuleta yang mengarahkan Wagner supaya berada sekurang-kurangnya 91 meter dari Taylor dan rumahnya.
Perintah itu akan berkuat kuasa sehingga satu sesi pendengaran yang dijadualkan pada 30 Jun ini, bagi mempertimbangkan perintah larangan yang lebih kekal.
Dalam petisyennya, Taylor menyatakan Wagner pertama kali mengunjungi kediamannya di Los Angeles pada 9 Julai 2024 dan kembali sekurang-kurangnya dua kali lagi pada bulan yang sama.
Taylor menegaskan dia tidak pernah berkongsi alamat rumahnya secara umum dan tidak pernah memberikannya kepada lelaki berkenaan.
“Fakta bahawa Wagner mengetahui lokasi saya tinggal, berulang kali mengunjungi kawasan kediaman saya tanpa izin, dan mendakwa memerlukan akses, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan saya dan keluarga,” tulis Taylor dalam keterangan dokumen mahkamah.
Penyanyi yang pernah memenangi anugerah Grammy itu juga mendakwa Wagner pernah datang sambil membawa sebotol kaca yang boleh dijadikan senjata.
Lelaki itu turut didakwa membuat pelbagai kenyataan tidak benar termasuk mendakwa tinggal bersama Taylor, mempunyai hubungan dengannya, serta mempercayai bahawa penyanyi itu adalah ibu kepada anaknya.
Tindakan undang-undang hanya diambil selepas dua lagi kunjungan Wagner pada bulan lalu, apabila pasukan keselamatan Taylor menjalankan semakan latar belakang dan mendapati Wagner mempunyai rekod jenayah.
Selain Wagner, Taylor sebelum ini juga pernah beberapa kali menjadi sasaran penghendap.
Antara insiden lampau melibatkan penceroboh termasuk kes pada tahun 2017 apabila seorang lelaki bernama Mohammed Jaffar menceroboh bangunan apartmennya di New York, serta kes pada tahun 2018 apabila seorang lelaki lain, Roger Alvarado, memecah masuk, mandi, dan tidur di rumah Taylor.
Pada tahun yang sama, seorang lagi individu dilaporkan memandu lebih 1609.34 km ke rumah Taylor dengan membawa senjata, tali, dan sarung tangan.