JELEBU: Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Daerah Jelebu 2025 berlangsung di Dataran Jelebu di sini semalam dengan kehadiran lebih 2,000 pengunjung.
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, jumlah kehadiran itu merupakan peningkatan berbanding penyertaan masyarakat berbanding tahun lalu.
Katanya, penganjuran HSN selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan aktiviti kesukanan sebagai gaya hidup rakyat.
“Saya harap, sambutan HSN yang diraikan di seluruh negara setiap 11 Oktober menjadi wadah mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan, masyarakat dan keluarga menerusi pelbagai aktiviti sukan dan riadah.
“Kita mahu menjadikan HSN sebagai platform untuk masyarakat bersatu melalui aktiviti sihat dan menyeronokkan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan HSN 2025 Peringkat Daerah Jelebu semalam.
Jalaluddin yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan berkata, pelbagai acara diatur bagi menarik penyertaan masyarakat antaranya sukan rakyat, senamrobik dan kempen gaya hidup sihat.
“Kita mempelbagaikan acara kesukanan, bukan sekadar acara padang atau gelanggang, tetapi turut melibatkan aktiviti keluarga bagi membina semangat perpaduan,” kata beliau lagi.
Pada masa sama, turut dianjurkan buat kali ketiga program 2 Wheels Festival yang menghimpunkan peminat permotoran dari seluruh negara termasuk Singapura.
“Ia juga dapat menanam minat anak muda terhadap sukan permotoran dan memperkenalkan Jelebu sebagai lokasi tumpuan untuk aktiviti ini,” katanya.
Tambahnya, sambutan festival itu semakin meningkat setiap tahun sekali gus dilihat berpotensi menjadi tarikan baharu sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026.
“Saya harap acara seperti ini dapat diteruskan dan diperbesarkan agar Jelebu menjadi destinasi tumpuan pelancong serta aktiviti sukan permotoran di masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, penerapan budaya kesukanan secara berterusan dalam kalangan masyarakat mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat, termasuk mengurangkan risiko masalah kesihatan seperti tekanan mental dan kemurungan.
“Kalau budaya kesukanan ini dapat kita terapkan dalam kehidupan seharian, banyak manfaat kesihatan boleh kita capai, selain menjadikan masyarakat kita lebih cergas dan sejahtera,” katanya.-UTUSAN.










