KUALA LUMPUR: Pelakon dan pempengaruh media sosial, Riena Diana memohon orang ramai untuk tidak lagi membicarakan soal hubungan cintanya dengan aktor, Keith Foo.
Sebaliknya, menurut Riena, dia lebih selesa sekiranya peminat dan pengikut memberi tumpuan kepada hasil kerja seninya, khususnya menerusi drama terbaharu lakonannya yang berjudul Janji Pada Hati.
“Tak mahu lagi bercakap mengenai hubungan saya dah. Saya nak cakap mengenai hasil kerja saya,”katanya.
Mengulas lanjut tentang drama berkenaan, Riena berkata, dia diberi tanggungjawab melakonkan watak seorang wanita yang menghidap penyakit Guillain-Barré Syndrome (GBS) iaitu sejenis gangguan saraf yang jarang berlaku dan menyebabkan kelemahan otot secara tiba-tiba.
“Pada awalnya, saya tolak tawaran ini sebab rasa tak mampu nak bawa watak ini. Terlalu berat untuk saya.
“Tapi pengarah dan Keith sendiri banyak beri galakan dan yakinkan saya. Mereka cakap kita saling bantu di set, jadi saya pun terima cabaran itu,” jelasnya.
Tambah Riena, pengalaman melakonkan watak tersebut amat mencabar kerana memerlukan penghayatan emosi dan fizikal yang mendalam termasuk babak menjatuhkan diri dan menangis secara spontan di hadapan kamera.
“Lepas jatuh, saya dah gelak-gelak sebab seronok tapi pengarah minta saya terus nangis masa close-up sebab katanya akan lebih ‘cantik’. Saya hormati permintaan dia dan cuba buat sehabis baik,” ujarnya.
Menurut Riena lagi, dia kini giat memperbaiki mutu lakonan dan menaruh rasa hormat tinggi terhadap rakan-rakan pelakon yang mampu menghidupkan watak dengan penuh penghayatan.
“Riena memang tabik hormat kepada semua pelakon yang hebat keluarkan emosi.
“Kebanyakan mereka buat aksi stunt sendiri. Saya pun masih belajar untuk memperbaiki lakonan saya sehingga sekarang.
“Bagaimanapun, harap anda suka dan terima lakonan Riena dalam drama ini. Tak sia-sia kaki saya lebam-lebam,” katanya berseloroh.
Untuk rekod, Riena, 27, dan Keith Foo, 42, mula menjalinkan hubungan rapat sekitar awal tahun ini selepas sama-sama terlibat dalam beberapa projek drama.
Hubungan mereka mula dihidu peminat apabila kedua-duanya sering berkongsi foto dan video mesra di laman sosial.
Keith pernah berkahwin dengan model dan doktor gigi, Kim Raymond pada 2015, namun perkahwinan itu berakhir dengan penceraian pada 2020.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Skylar Raymond.