Sibuk pun tetap ada hobi - Utusan Malaysia

Sibuk pun tetap ada hobi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Meskipun selebriti Korea sering dilihat hidup dalam dunia hiburan yang glamor dan penuh perhatian, ramai antara mereka sebenarnya lebih suka menghabiskan masa dengan cara yang ringkas apabila tidak bekerja.

Di luar pentas dan kamera, mereka gemar memakai pakaian santai di rumah dan meluangkan masa dengan hobi kegemaran masing-masing.

Hobi bukan sekadar untuk mengisi masa lapang. Ia membantu menjaga kesihatan mental, memberi ketenangan, dan membantu mereka kekal seimbang dalam dunia kerja yang sibuk dan penuh tekanan.

Ada selebriti Korea yang suka melakukan aktiviti biasa seperti memasak atau bermain permainan video, dan ada juga yang memilih hobi yang unik dan luar biasa.

Malah, adakalanya, hobi ini membuatkan mereka nampak lebih dekat dan mudah didekati oleh para peminat.

IU: Permainan strategi dan berfikir

Lee Ji-eun, yang lebih dikenali sebagai IU, bukan sahaja penyanyi dan penulis lagu yang terkenal, malah seorang pemain permainan video tegar.

IU gemar bermain permainan strategi yang memerlukan pemikiran mendalam dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Hobi ini baginya mampu memberikannya rangsangan mental dan juga menjadi satu bentuk rehat daripada kerjaya muziknya yang seringkali memiliki jadual padat.

Jin BTS: Memasak

Kim Seok-jin, atau Jin dari BTS, telah menjadikan aktiviti memasak yang pada asalnya satu keperluan, kini sebagai hobinya.

Ketika pandemik, Jin begitu banyak meraih populariti menerusi video memasaknya yang mana dia juga berkongsi resipi lengkap dan teknik serta humor tersendiri.

Siri YouTube miliknya, Eat Jin, menjadi kegemaran peminat sekali gus memperlihatkan bakatnya di luar bidang muzik.

Yook Sung-jae BtoB: Memancing

Selain dikenali dengan vokal mantap bersama kumpulan BtoB dan peranan dalam bidang lakonan, Yook Sung-jae mempunyai minat yang mendalam terhadap aktiviti memancing.

Bermula sebagai hobi biasa, kini ia berkembang menjadi satu kepakaran dan dia boleh dikatakan sudah profesional juga dalam aktiviti ini.

Sung Jae sering dilihat dengan peralatan memancing berkualiti tinggi dan muncul dalam pelbagai rancangan hiburan menunjukkan kemahirannya.

Minatnya terhadap aktiviti ini begitu mendalam sehinggakan dia banyak meluangkan masa untuk mengkaji teknik dan lokasi memancing, serta berkongsi penge­tahuannya dengan peminat menerusi media sosial dan program hiburan.

Jennie Blackpink: Fotografi

Dikenali sebagai ’Gadis Channel” kerana pengaruh fesyennya, Jennie dari kumpulan Blackpink mempunyai minat artistik lain yang mungkin mengejutkan peminat iaitu seni fotografi.

Jennie sering membawa kamera filem sendiri dan turut membuka akaun Instagram khas (@lesyeuxdenini) untuk mempamerkan hasil karyanya.

Minatnya terhadap fotografi seiring dengan kepekaan visualnya, merakam momen-momen spontan ahli kumpulannya, landskap, serta kehidupan harian melalui lensa estetika yang unik.

Gambar-gambarnya sering dihasilkan dengan gaya vintaj selain suasana, sekali gus memberikan peminat gambaran tentang apakah perspektif seninya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN