SHAH ALAM : Selebriti dan ahli parlimen Muar, Syed Saddiq mengakui kagum dengan semangat anak kepada penyanyi, Bella Astillah iaitu Ayden yang berjaya menamatkan pertandingan berenang 400 meter di laut terbuka baru-baru ini.
Menurut Saddiq, sebagai individu, dia berasa terinspirasi dengan kanak-kanak berusia 8 tahun tersebut yang mempunyai semangat luar biasa dalam melakukan aktiviti yang diminati.
“Sebenarnya, saya yang terinspirasi dengan Ayden dan bukannya dia yang terinspirasi dengan saya. Apabila saya lihat pertama kali dia berenang, dia nak capai 25 meter pun susah. Tetapi dia seorang yang berani.
“Saya sangat gembira apabila dia berjaya menamatkan renangan sejauh 400 meter di lautan yang bergelora.
“Dia hanya berlatih selama seminggu sahaja,” katanya sewaktu ditemui di majlis Roadtour Score A SPM PTTI, di sini, semalam.
Jelas Saddiq lagi, disebabkan pembabitan Ayden dalam acara yang berlangsung di Langkawi itu, ramai ibu bapa yang menghubungi untuk mendaftarkan anak-anak mereka.
“Ramai yang menghubungi saya dan beritahu mereka mahu anak-anak mereka menyertai kelas berenang, berlari, berbasikal dan amalkan gaya hidup yang sihat selepas melihat apa yang Ayden lakukan.
“Saya harap cerita inspirasi sebegini dapat membuatkan para ibu dan bapa melaburkan masa dan tenaga untuk mendidik anak-anak mereka tentang pentingnya mengamalkan gaya hidup yang sihat,” jelasnya.
Baru-baru ini Bella Astillah berkongsi tentang kejayaan anaknya, Mohamed Ayden Adrean Mohammad Aliff, 8, yang berjaya menghabiskan renangan sejauh 400 meter dalam pertandingan yang berlangsung di Pulau Langkawi, Kedah.
Sehubungan itu, warganet menyifatkan Ayden terinspirasi daripada Syed Saddiq yang sememangnya sinonim dengan sukan Iron Man.