Rasa nak muntah, jijik dengan komen lucah pengguna grup pedofilia - Mek Yun - Utusan Malaysia

Rasa nak muntah, jijik dengan komen lucah pengguna grup pedofilia – Mek Yun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pempengaruh, Mek Yun, mengakui jijik dengan kelakuan individu-individu yang memuat naik termasuk menulis komen berbaur lucah di sebuah grup yang diwujudkan atas nama Group Budak-Budak Sekolah Rendah di Facebook.

Bagaimanapun, kata Mek Yun atau nama sebenarnya, Wee Yun Nee, tindakan kolektif warganet melaporkan mengenai kejijikan grup tersebut kepada pihak berkenaan membuatkannya lega kerana platfrom itu akhirnya telah ditutup.

Kata Mek Yun, selain warganet, dia sendiri telah bertindak membuat aduan mengenai tersebut kepada pihak berkuasa.

“Mek Yun sendiri dah hubungi pihak berkuasa secara terus. Siasatan sedang dijalankan oleh pihak-pihak bertanggungjawab.

“Ini bukan satu perkara kecil. Ini tentang keselamatan budak-budak kita, anak-anak kita dan maruah komuniti kita semua.

“Kalau anda nampak benda macam ini, atau anda adalah mangsa atau mengenali seseorang yang menjadi mangsa, bersuara, lapor, lindungi sesama kita.

“Mek Yun dah buat apa yang termampu dan jika perkara ini terjadi lagi, saya akan tetap menyuarakannya. Keadilan perlu ditegakkan dan tindakan perlu dilakukan,”katanya.

Terdahulu, Mek Yun meluahkan rasa berang kerana grup tersebut turut memuat naik
gambarnya ketika bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul.

Menurutnya, dia mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan pengikut Instagramnya tentang kegiatan tidak bermoral tersebut.

“Saya tidak sanggup mahu tengok akaun Facebook, rasa nak muntah dan berasa jijik dengan tindakan lelaki-lelaki yang meninggalkan mesej yang lucah di ruangan komen.

“Saya menggesa semua pihak untuk membuat repot bagi akaun tersebut agar mereka tidak dapat akses lagi.

“Saya juga mendapati isi kandungan di dalam forum berkenaan dipenuhi dengan pelbagai gambar pelajar sekolah yang dijadikan sebagai bahan perbualan fantasi jelik mereka terhadap remaja bawah umur,” katanya lagi.

Difahamkan,kumpulan tersebut didapati mempunyai kira-kira 12,000 ahli dan lambakan komen-komen melampau.

Kumpulan tersebut terbuka kepada semua pengguna Facebook dan sesiapa sahaja boleh memuatnaik hantaran.

Antara kandungan di dalam kumpulan tersebut ialah gambar-gambar kanak-kanak perempuan dengan kapsyen berbaur lucah.

Kumpulan tersebut juga didapati telah dicipta sejak 15 Mei 2014 lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN