PETALING JAYA : Penyanyi antarabanga yang popular dengan lagu-lagu kerohanian, Maher Zain, 44, mengakui tidak pernah berhenti menyuarakan dan memperjuangkan nasib saudara Islam di Palestin.
Menurut Maher, dia sehingga kini masih menggunakan platform media sosialnya untuk tujuan tersebut termasuk ketika setiap kali menjayakan konsert jelajahnya di seluruh dunia.
“Apabila berada di atas pentas, saya masih berjuang untuk Palestin seperti menyanyikan lagu-lagu Palestin.
“Kehidupan harus diteruskan tetapi tetap tak boleh lupakan mereka yang berada di Gaza.
“Saya akan tetap menggunakan platform saya untuk terus menyuarakan apa yang terjadi di Palestin,“ katanya semasa sidang akhbar Konsert Jelajah Asia Tenggara menerusi aplikasi Zoom, hari ini.
Pada masa sama, pelantun lagu Ya Nabi Salam Alayka itu mengakui tidak dapat membayangkan penindasan yang berlaku di Palestin.
Disebabkan itu, dia menggunakan pentas konsert untuk meluahkan rasa simpati terhadap rakyat di Gaza.
“Memang tak mudah untuk kita ‘move on’ mengenai situasi mereka lebih-lebih lagi apabila tiada seorang pun dapat bayangkan kesakitan mereka di sana.
“Saya akan sentiasa mengingatkan perkara tersebut (Palestin) dalam lagu-lagu saya menerusi konsert jelajah,” ujarnya lagi.

Sementara itu, artis kelahiran Sweden-Lubnan ini bakal kembali ke Asia Tenggara dengan siri konsert yang dinanti-nantikan selepas kali terakhir menjejakkan kaki ke sini enam tahun lalu.
Konsert Jelajah Asia Tenggara 2025 ini telah diumumkan melalui saluran media sosialnya baru-baru.
Dikenali dengan alunan muzik yang menyentuh hati serta mesej penuh harapan, perpaduan dan keimanan, kepulangan Maher dijangka akan disambut dengan penuh keterujaan oleh peminat beliau.
Konsert Maher Zain bakal berlangsung pada 16 Ogos depan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, diikuti The Star Theatre, Singapura pada 21 Ogos 2025 dan Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu pada 23 Ogos 2025.
Jelajah ini merupakan persembahan pertama Maher Zain di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu selepas pandemik COVID-19.
Jelajah terakhir Maher di Malaysia pada 2019 telah habis dijual di empat bandar dalam masa beberapa hari, mencerminkan kedudukannya sebagai artis muzik rohaniah yang berpengaruh di rantau ini.