KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Erissa Puteri, menyifatkan single terbaharu berjudul Waktu sebagai sebuah karya paling dekat dengan jiwanya.
Bahkan, menurut Erissa, lagu itu juga lebih-lebih berkait rapat dengan kisah cintanya bersama suami tercinta, Muhamad Daniel Iskandar Zaidi.
Menerusi kenyataan kepada media, Erissa berkata, lagu tersebut diterima pada tahun lalu dan sejak kali pertama mendengarnya, dia tertarik dengan susunan melodi serta lirik yang cukup menyentuh perasaan.
“Lagu ini mengisahkan seorang lelaki yang menerima pasangannya seadanya. Ia secara tidak langsung mencerminkan hubungan saya dengan Daniel.
“Walaupun bukan dicipta khusus tentang kami, namun kisahnya sangat kebetulan dengan apa yang kami lalui,” katanya.
Kata Erissa, muzik video rasmi Waktu yang diterbitkan syarikat rakaman Nova Music, dilancarkan pada 18 April lalu, iaitu tarikh sama dia dan suami disatukan dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.
Lebih mengundang perhatian, Daniel turut tampil sebagai teraju utama dalam muzik video tersebut yang memaparkan perjalanan cinta mereka sejak mula berkenalan hingga ke jenjang pelamin.
“Saya lihat Waktu bukan sekadar lagu, tetapi satu bentuk penghargaan kepada insan yang sanggup menerima baik buruk diri kita,” kata Erissa yang pernah dikenali menerusi drama bersiri Geng UPSR, Puasa Oh Puasa dan SMK.
Menurut Erissa lagi, Waktu dipilih sebagai runut bunyi sebuah drama akan datang dan menjadi simbolik kepada fasa baharu dalam kerjayanya sebagai penyanyi selepas kali terakhir tampil dengan single Matahari pada 2014.
“Saya akui selepas menyertai Ceria Popstar, fokus saya lebih terarah kepada bidang lakonan. Kini, saya anggap Waktu sebagai permulaan semula dalam dunia nyanyian,” katanya.
Sementara itu, pencipta lagu Waktu, Ikhwan Fatanna, yang turut menulis lirik sepenuhnya bersama komposer Wan Saleh, berkata karya ini membawa mesej universal tentang cinta dan penerimaan dalam hubungan rumah tangga.
“Lagu ini mengangkat tema pasangan yang saling melengkapi dan menerima kekurangan antara satu sama lain.
“Ia juga sesuai dijadikan lagu tema perkahwinan kerana sarat dengan elemen romantik dan penuh emosi,” katanya.
Ikhwan yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan Erissa dalam lagu Teruskan Mencuba untuk siri kanak-kanak Suatukala, menyifatkan penyanyi muda itu memiliki bakat besar serta pakej lengkap sebagai artis serba boleh.
“Erissa mudah dibentuk dan memahami kehendak lagu. Suaranya sesuai untuk genre pop balada yang menjadi tunjang lagu Waktu, malah lagu ini juga mesra dengar dan sesuai untuk dikongsi di media sosial sebagai latar momen-momen indah,” ujarnya.
Single Waktu nyanyian Erissa Puteri kini boleh didengari di semua platform penstriman digital, manakala muzik video rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos di pautan berikut: https://www.youtube.com/watch?v=HJp3ip3n3-s