Imej submisif dan seksualisasi keterlaluan, album Sabrina Carpenter dikecam - Utusan Malaysia

Imej submisif dan seksualisasi keterlaluan, album Sabrina Carpenter dikecam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES : Penyanyi pop sensasi, Sabrina Carpenter mencetuskan kontroversi hangat di kalangan warganet selepas melancarkan kulit album terbaharunya berjudul Man’s Best Friend.

Imej yang menampilkan Sabrina berlutut sambil rambutnya dipegang oleh seorang lelaki telah mencetuskan pelbagai reaksi.

Malah, ramai menyifatkan penghasilan kulit album itu umpama merendahkan martabat wanita.

Rata-rata warganet menyifatkan gambar tersebut mempersembahkan imej ‘submisif’ dan seksualisasi yang keterlaluan dengan sesetengah pihak menyamakannya dengan gambaran misoginis yang tidak sesuai dalam era pemerkasaan wanita.

“Ini bukan satu bentuk seni, ini penghinaan. Ia membawa mesej yang salah kepada remaja perempuan,” tulis seorang pengguna di platform X.

Namun, dalam kalangan penyokongnya, ada yang mempertahankan tindakan Sabrina dengan menyatakan bahawa kulit album itu adalah satu bentuk satira terhadap pandangan lelaki terhadap wanita dalam industri hiburan.

Mereka percaya ia adalah cara penyanyi itu mengekspresikan kebebasan artistiknya dan mencabar norma sosial yang membelenggu artis wanita.

Sabrina, dalam satu temu bual bersama Rolling Stone, tidak memberi komen secara langsung terhadap kecaman tersebut, namun menegaskan bahawa artis wanita sering menjadi sasaran penilaian keterlaluan.

“Jika anda tidak boleh menerima seorang gadis yang yakin dengan seksualitinya, mungkin anda bukan penonton untuk karya saya,” katanya.

Sementara itu, badan advokasi wanita di Glasgow turut mengkritik kulit album itu dengan menyatakan bahawa ia memperlihatkan wanita sebagai objek dan peliharaan, bukan individu yang bebas dan berkuasa.

Man’s Best Friend dijadualkan untuk dilancarkan secara rasmi pada 29 Ogos 2025.

Walaupun dikecam, album ini dijangka akan mencatatkan angka penstriman tinggi susulan kontroversi yang membawanya ke perhatian umum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN