Zaidatul mahu fokus pemulihan 

Zaidatul mahu fokus pemulihan 

ATLET olahraga kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli ketika beraksi dalam acara Akhir 100m Wanita pada Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Nasional Suphachalasai. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu pecut kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli kini memberi fokus sepenuhnya kepada proses pemulihan selepas mengalami kecederaan hamstring ketika beraksi di Sukan SEA Thailand 2025.

Pemegang rekod 100 meter (m) wanita kebangsaan itu berkata, beliau ketika ini berada dalam fasa awal rawatan fisioterapi dan program rehabilitasi di bawah penyeliaan Institut Sukan Negara (ISN).

Berkongsi detik perit ketika saingan Sukan SEA Thailand 2025, Zaidatul Husniah terpaksa menarik diri dalam aksi final 4x100m selepas perbincangan menyeluruh bersama pasukan perubatan.

“Saya menerima suntikan ubat tahan sakit daripada pihak ISN lima jam sebelum acara final 4x100m, tetapi hamstring masih sakit.

“Selepas penilaian lanjut, pihak perubatan menasihatkan saya untuk tidak meneruskan perlumbaan kerana bimbang kecederaan menjadi lebih teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bercakap mengenai perancangan akan datang, pelari pecut kelahiran Kedah itu mengakui masih dalam proses menilai prestasi diri serta menentukan langkah seterusnya dalam arena sukan.

“Penamat saya di Sukan SEA 2025 tidak benar-benar memuaskan diri sendiri, jadi saya perlukan masa untuk menilai keadaan dan hala tuju seterusnya.

“Keutamaan saya ketika ini hanyalah untuk fokus kepada pemulihan kaki terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan besar mengenai masa depan kerjaya,” katanya.

Untuk rekod, Zaidatul mempunyai enam koleksi pingat dalam temasya dwitahunan itu sejak 2017 serta gangsa dalam acara 200m dan kilauan pingat sama bagi 4x100m bersama Azreen Nabila Alias, Nur Afrina Batrisyia Mohd Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN