NEW YORK :Pelakon terkenal Hollywood, Blake Lively, menangis lega selepas mahkamah persekutuan menolak tuntutan balas bernilai USD 400 juta yang difailkan terhadapnya oleh pelakon dan pengarah, Justin Baldoni.
Menurut sumber terdekat yang dipetik oleh majalah PEOPLE, Blake menangis sejurus selepas keputusan mahkamah itu diumumkan sekali gus seolah-olah bagi memberitahu kepada umum bahawa dia berada di pihak yang ‘benar’.
Sebelum ini, tuntutan balas Justin Baldoni adalah melibatkan dakwaan fitnah, gangguan kontrak, dan pelanggaran perjanjian tersirat, serta saman tambahan bernilai USD 250 juta terhadap akhbar The New York Times.
Namun, semua tuntutan ini ditolak oleh Hakim Persekutuan, Lewis J. Liman.
Hakim telah memutuskan bahawa kenyataan Blake mengenai Justin, termasuk tuduhan gangguan seksual, dilindungi oleh keistimewaan perundangan (litigation privilege) dan disebabkan itu tidak boleh dituntut sebagai fitnah.
Sementara itu, laporan The New York Times mengenai dakwaan itu juga dilindungi di bawah prinsip laporan adil.
Walaubagaimanapun, hakim memberikan kebenaran kepada pihak Justin untuk memfailkan semula dua tuntutan berasingan berkaitan gangguan kontrak dan pelanggaran perjanjian tersirat sebelum atau pada 23 Jun 2025.
Dalam pada itu, peguam yang mewakili Blake menyambut baik keputusan ini dengan menyifatkannya sebagai ‘kemenangan menyeluruh dan pembebasan sepenuhnya’ untuk Blake, Ryan Reynolds dan jurucakap mereka, Leslie Sloane.
Mereka turut menyatakan hasrat untuk memfailkan tuntutan balas bagi mendapatkan ganti rugi berganda, kos guaman, dan denda punitif terhadap Justin.
Selain itu, meskipun keputusan mahkamah ini berpihak kepada Blake dalam tuntutan balas, kes asal yang difailkan olehnya terhadap Justin melibatkan tuduhan gangguan seksual dan pembalasan masih berjalan dan dijadualkan untuk perbicaraan pada Mac 2026.
Kes tersebut dikatakan mempunyai impak besar dalam memperjuangkan hak wanita di industri hiburan, dan Blake menerima sokongan penuh daripada rakan-rakan selebritinya yang melihat keputusan ini sebagai titik tolak penting dalam gerakan menentang penyalahgunaan kuasa.